Home Buletin Semasa SERAMAI 60 TAMPIL DERMA DARAH ANJURAN JPJ PAHANG

SERAMAI 60 TAMPIL DERMA DARAH ANJURAN JPJ PAHANG

KUANTAN: Seramai 60 individu termasuk kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang berjaya menderma darah menerusi Program Jom Derma Darah yang berlangsung di Pejabat JPJ Pahang, di sini, kelmarin.

Program bertemakan ‘Setitis Darah, Sejuta Harapan’ itu merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat JPJ Pahang bagi membantu menambah bekalan darah di Unit Tabung Darah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Pengarah JPJ Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, seramai 78 individu hadir untuk menyertai program berkenaan, namun hanya 60 orang layak menderma selepas menjalani saringan kesihatan.

Menurutnya, program yang memasuki penganjuran kali ketiga tahun ini mendapat sambutan menggalakkan daripada warga JPJ Pahang dan masyarakat setempat.

“Penganjuran program ini bukan sahaja membantu memastikan bekalan darah di HTAA sentiasa mencukupi, malah memupuk semangat keprihatinan dan budaya menderma darah dalam kalangan warga jabatan serta masyarakat.

“Kerjasama erat dengan Unit Tabung Darah HTAA membuktikan komitmen berterusan JPJ Pahang dalam menyokong usaha kemanusiaan dan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan pendermaan darah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program berkenaan yang turut menyaksikan penyertaannya sebagai penderma darah.

Dalam pada itu, Unit Tabung Darah HTAA turut menyampaikan Medal Adiwira Darah kepada individu yang berjaya menderma darah sebanyak tiga kali sepanjang tahun ini sebagai penghargaan terhadap komitmen dan sumbangan berterusan mereka.

Pengiktirafan itu diharap menjadi pembakar semangat kepada lebih ramai masyarakat untuk tampil menderma darah secara konsisten, sekali gus membantu memenuhi keperluan bekalan darah hospital.

Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya berkata, pihaknya berhasrat menjadikan program berkenaan sebagai acara tahunan bagi memperkukuh kerjasama antara agensi serta menyemarakkan budaya kesukarelawanan.

“Kita akan terus berusaha memastikan program seumpama ini dilaksanakan secara berterusan demi menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

“Penghargaan dan terima kasih turut diberikan kepada Unit Tabung Darah HTAA, semua penderma, petugas serta pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini,” katanya.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here