Paris: Achraf Hakimi mencuri tumpuan apabila meledak hatrik untuk membantu Paris Saint Germain (PSG) membelasah Le Havre 5-1 dalam aksi Ligue 1, awal pagi tadi.
Memetik laporan AFP melalui Harian Metro, Kemenangan itu menyaksikan juara Eropah berkenaan terus mengukuhkan kedudukan di puncak liga walaupun menurunkan barisan yang dirombak dengan beberapa tonggak utama direhatkan.
PSG kini mengumpul 20 mata selepas mengharungi sembilan perlawanan, dua mata mengatasi Lille yang melonjak ke tangga kedua hasil kemenangan 1-0 ke atas Lens.
Rennes yang sebelum ini menjadi pencabar terdekat PSG pula terpaksa menelan kekalahan 2-5 kepada Nice, sekali gus ketinggalan empat mata di belakang pendahulu.
Beraksi di laman sendiri, Le Havre terlebih dahulu mengejutkan PSG apabila Josh Maja meledak gol pembukaan pada minit ke-18 menerusi rembatan kencang ketika tuan rumah sedang menguasai serangan.
Bagaimanapun, PSG hanya memerlukan lapan minit untuk menyamakan kedudukan menerusi Mika Godts yang menyudahkan hantaran lorongan Hakimi pada minit ke-26.
Dua minit kemudian, Hakimi mempamerkan ketajamannya apabila melepaskan rembatan deras dari dalam kotak penalti untuk meletakkan PSG di depan 2-1.
Bek kanan Maghribi itu terus menjadi duri dalam daging pertahanan Le Havre apabila menyempurnakan sepakan percuma menarik yang menerjah gawang lawan untuk gol ketiga PSG.
Senny Mayulu kemudian menambah derita tuan rumah pada minit ke-61 apabila bijak memperdaya penjaga gol Arnaud Bodard sebelum melepaskan rembatan jarak jauh ke gawang yang tidak dikawal.
Hakimi melengkapkan hatrik pada minit ke-69 menerusi rembatan yang menembusi celah-celah pemain pertahanan lawan, sebelum dikeluarkan oleh pengendali PSG, Luis Enrique sejurus meraikan jaringan berkenaan.
Enrique memuji kemampuan Hakimi yang diberikan kebebasan untuk bergerak ke hadapan ketika pasukan menguasai bola, namun tetap perlu menjalankan tanggungjawab bertahan apabila hilang penguasaan.
“Dia menjadi penyerang apabila kami menguasai bola. Dia bebas melakukannya ketika kami menyerang, tetapi wajib bertahan apabila kami tidak menguasai bola,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Lille melonjak ke tangga kedua selepas jaringan lewat Olivier Giroud pada minit ke-86 memastikan kemenangan tipis 1-0 ke atas Lens. – AFP, HMetro –
IMedikelTV






