Home Hiburan STATUS PENYANYI KELAB, ZAHID AF TIDAK RASA ‘DOWNGRADE’

STATUS PENYANYI KELAB, ZAHID AF TIDAK RASA ‘DOWNGRADE’

Kuala Lumpur : Juara Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Zahid Baharuddin, 46, sudah biasa ‘tebalkan telinga’ berhadapan pertanyaan mengenai pilihannya menjadi penyanyi kelab sejak tiga tahun lalu.

Memetik laporan Harian Metro, Zahid yang menjuarai AF2 pada 2004, tidak menafikan memang ada segelintir orang memandang penyanyi kelab itu ‘bertaraf rendah’, namun ramai terlepas pandang sisi positif di sebaliknya.

“Sudah tiga tahun saya menyanyi di kelab sampai sekarang, dan saya sedikit pun tidak berasa ‘downgrade’ dengan status ini. Menyanyi di kelab adalah satu tempat yang saya boleh ekspresi macam-macam.

“Antaranya, saya boleh ekspresi lagu, cara nyanyian, cara persembahan dan cara saya melayan orang dekat situ (kelab), sebab berbeza dengan ‘show’ acara hiburan kerana pengunjungnya ada pelancong dari pelbagai negara.

“Jadi, dekat kelab juga saya belajar lagu-lagu yang saya tidak pernah nyanyi. Contohnya, lagu-lagu Itali, Sepanyol dan bermacam-macam negara. Maka, saya nampak kelab adalah tempat untuk saya bereksperimentasi.

“Tempat saya rasa macam kalau lagu ini aku dapat nyanyi di GV (Gegar Vaganza) mesti ‘best’. Tetapi, saya cubalah untuk gunakan pengalaman tiga tahu menyanyi di kelab untuk bersaing di Gegar Vaganza Fantasia ini nanti,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Zahid adalah antara sembilan bekas juara AF yang diperkenalkan bakal berentap dalam Gegar Vaganza Ke-13 atau dikenali Gegar Vaganza Fantasia mulai 8 November depan.

Selain Zahid, juara AF lain ialah Vince (AF1), Mawi (AF3), Faizal (AF4), Mila Jirin (AF5), Stacy Anam (AF6), Shahir Zawawi (AF8), Faizul Sany (AF10) dan Firman (AF11).

Manakala, empat peserta lagi dirahsiakan, serta pemilihan dibuat berdasarkan undian.

Ditanya mengenai tawaran menyertai GV13, Zahid berkata dia sudah lama memendam impian, tetapi mengambil pendekatan menyerahkan kepada rezeki kerana tiba masa pasti memperoleh peluang.

“Alhamdulillah, impian saya jadi kenyataan untuk berentap di pentas besar seperti GV13. Ditambah lagi, kali ini agak istimewa sebab barisan peserta kesemuanya adalah juara-juara daripada AF.

“Sebenarnya memang rindu juga pada zaman AF dulu. Tetapi, masa yang berlalu tidak dapat diundur. Harapan saya akan berusaha memberi persembahan terbaik dan sedikit lega bila tengok nama Hazama dan Amir Masdi, tiada.

“Saya tak nafikan rasa gementar juga kalau ada Hazama dan Amir. Bagi saya, kedua-duanya memiliki vokal yang mantap. Tetapi, tidak tahu lagi sama ada mereka turut tersenarai dalam empat nama peserta yang masih rahsia,” katanya.

Bagaimanapun, Zahid bertekad mahu menjaga ‘air muka’ maestro muzik terkenal, Datuk Ramli MS yang juri tetap dalam GV13 kerana figura berkaliber itu pernah menjadi pengetua AF2.-HMetro Online-.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here