Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
CAMERON HIGHLANDS: Seramai 17 peserta terpilih menyertai Kursus Pengecaman dan Pengendalian Flora Tanah Tinggi di Cameron Highlands Montane Park (CHiMP), di sini, kelmarin.
Kursus selama tiga hari itu bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kefahaman peserta tentang kepelbagaian flora tanah tinggi selain dapat memperkukuhkan lagi kemahiran dalam pengecaman dan pengendalian tumbuhan berkenaan.

Peserta kursus terdiri daripada kakitangan Pejabat Hutan Daerah Cameron Highlands, Pejabat Hutan Daerah Kuala Lipis, Pejabat Silvikultur Negeri Pahang Barat serta pengusaha pelancongan di Cameron Highlands.
Timbalan Pengarah Perhutanan (Pembangunan) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Harry Yong, berkata
kursus yang diadakan turut memberi penekanan terhadap kepentingan pemuliharaan flora serta pemeliharaan biodiversiti hutan tanah tinggi.
Menurutnya, peserta didedahkan kepada akta perhutanan yang berkaitan selain pengecaman spesies orkid dan periuk kera yang banyak terdapat di kawasan tanah tinggi, turut diajar kaedah pembiakan tumbuhan berkenaan yang dianggap istimewa.

“Penganjuran kursus ini dapat memperkukuh lagi pengetahuan dan kemahiran peserta selain mengeratkan kerjasama antara Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dengan pengusaha pelancongan di daerah ini.
“Penganjuran kursus ini membentuk persefahaman dan kerjasama untuk memelihara khazanah alam semula jadi khususnya kepelbagaian flora tanah tinggi Cameron Highlands dalam memastikan kelestarian biodiversiti untuk generasi akan datang,” katanya.
Kursus julung kali diadakan di daerah ini anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dikendalikan oleh Prof Dr Rusea Go dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Juliana Yahya dan Muhamad Farhan Zamri dari Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia serta Siti Noratikah Mustafa dari Jabatan Perhutanan Negeri Johor.
Sementara itu, Pegawai Hutan Daerah Cameron Highlands, Nasrul Akmal Amaludin berkata, Pejabat Hutan Daerah Cameron Highlands diberi tanggungjawab mengendalikan kursus berkenaan yang banyak memberi ilmu pengetahuan baharu pada peserta.
Katanya, lebih menarik lagi peserta diajar cara membiak pelbagai spesies pokok periuk kera dan orkid yang sememangnya banyak terdapat di kawasan tanah tinggi Cameron Highlands.
“Kemahiran yang diterima pada kursus ini membuka peluang kepada kakitangan Pejabat Hutan Daerah Cameron Highlands memajukan lagi
Cameron Highlands Montane Park (CHiMP) yang menempatkan pelbagai spesies pokok tanah tinggi seperti orkid, periuk kera dan halia.
“Kita akan mengadakan program membawa pulang pokok spesies tanah tinggi untuk dibiakan di Cameron Highlands Montane Park (CHiMP) sebagai usaha menarik kehadiran lebih ramai pelancong,” katanya.
IMedikel TV






