Home Hiburan ELLA, AMY SEARCH BAKAL GEGARKAN PADANG MERBOK SEMPENA RENTAK BUDAYA 2026

ELLA, AMY SEARCH BAKAL GEGARKAN PADANG MERBOK SEMPENA RENTAK BUDAYA 2026

Kuala Lumpur : Ratu Rock tanah air, Ella bersama ikon rock negara, Amy Search bakal menggegarkan ibu kota menerusi penganjuran acara Rentak Budaya 2026 dibawakan khas sempena sambutan seni, budaya dan warisan tempatan.

Memetik laporan Harian Metro, Acara tiga hari di dua lokasi berdekatan pusat bandar iaitu Padang Merbok dan River of Life, Kuala Lumpur dijadualkan bermula 30 Oktober hingga 1 November ini.

Program terbitan Jabatan Perdana Menteri (Jabatan Wilayah Persekutuan) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan (JKKN) ini dibuka secara percuma kepada orang ramai.

Selain Ella dan Amy Search, persembahan pentas utama di Padang Merbok bermula jam 8 malam turut dimeriahkan dengan kemunculan artis popular tanah air antaranya Kaka Azraff, Haziq Rosebi, Rosma Sidek, serta persembahan Dikir Barat oleh Issey & Friends.

Gabungan persembahan kebudayaan seperti Gendang Rebana, Silat, Tarian Joget, Zapin Berkopak dan Gendang 24 turut ditampilkan dalam acara itu.

Penganjuran acara di Padang Merbok itu diadakan sempena Hari Permainan Malaysia 2026 pada sebelah siang, di samping deretan gerai makanan dan minuman ‘viral’.

Sementara itu, lokasi River of Life menawarkan pengalaman interaktif bermula jam 10 pagi hingga 10 malam melalui jualan kraf, bengkel membuat tanjak, bengkel batik, kaligrafi, persembahan buskers, sketsa humor serta ‘Sembang Seni’ yang dibintangi nama-nama seperti Ann Abdullah, Mie Raja Lawak, Pak Chu Raja Lawak dan Kyoji Sky.

Presiden SENIMAN, Datuk Zed Zaidi berkata, Rentak Budaya diwujudkan sebagai platform santai bagi merapatkan jurang antara seni tradisi dengan generasi muda hari ini.

“Di River of Life, pengunjung boleh berinteraksi secara lebih dekat dengan penggiat seni dan mencuba sendiri aktiviti budaya, manakala di Padang Merbok kita tampilkan persembahan berskala lebih besar menggabungkan artis popular dengan kebudayaan,” katanya.-HMetro Online-.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here