Home Buletin Semasa PEMANDU PELANCONG DIPENJARA LAPAN BULAN, MILIKI KOMPONEN SENJATA TIRUAN

PEMANDU PELANCONG DIPENJARA LAPAN BULAN, MILIKI KOMPONEN SENJATA TIRUAN

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Seorang pemandu pelancong dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini  atas pertuduhan memiliki komponen senjata tiruan di sebuah premis Rent N Go Car Rental di Jalan New Ferry, antara 1 hingga 30 September lalu.

S Leynon, 33 mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal. 

Antara komponen yang dirampas ialah satu laras berwarna perak, satu komponen senjata berwarna perak serta dua kelopak peluru berwarna hitam yang masing-masing mengandungi enam butir dan sebutir peluru.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Lim Zhan Yi memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh, manakala peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu hukuman minimum dengan alasan anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai enam anak serta memperoleh pendapatan RM2,000 sebulan sebagai pemandu pelancong.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis seberat 110 gram (g) dan sebilah parang tanpa sebab yang sah di sebuah bilik hotel di Bukit Mertajam, awal bulan lalu.

Kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid di Mahkamah Sesyen Butterworth, di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki sebilah parang sepanjang 52 sentimeter (cm) tanpa sebab yang sah di sebuah bilik hotel di Jalan Icon City, Bukit Mertajam, dalam daerah Seberang Perai Tengah, kira-kira jam 6 petang pada 1 Oktober lalu.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 110g di lokasi, tarikh dan masa sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun serta sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Firdaus, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 10 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes, pelantikan peguam serta penyerahan laporan kimia.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here