Home Buletin Semasa MAYAT LELAKI BERBALUT KAIN DITEMUI DALAM LONGKANG

MAYAT LELAKI BERBALUT KAIN DITEMUI DALAM LONGKANG

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Penemuan mayat seorang lelaki dalam longkang berhampiran gerai makanan di Pasar Awam Sama Gagah, Permatang Pauh, pagi tadi, mengejutkan seorang peniaga yang sudah 15 tahun mencari rezeki di pasar berkenaan.

Peniaga lelaki yang enggan dikenali itu berkata, dia tiba di gerainya untuk memulakan perniagaan sebelum mendapati orang ramai berkerumun di kawasan berhampiran.

“Saya datang nak berniaga, tiba-tiba nampak ramai orang berkerumun dekat gerai saya sebelum terkejut melihat ada mayat terperosok dalam longkang,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Menurutnya, sepanjang berniaga di pasar berkenaan, dia tidak pernah berdepan kejadian seumpama itu.

Katanya, kawasan pasar yang terbuka itu sering menjadi lokasi persinggahan dan tempat melepak segelintir individu di luar waktu operasi, namun dia tidak menyangka keadaan itu berakhir dengan penemuan mayat.

“Gerai makanan di pasar ini beroperasi dari jam 7 pagi hingga 11.30 pagi. Selepas itu, kawasan ini memang terbuka dan pada waktu petang hingga malam ada orang datang melepak.

“Kami sebagai peniaga tidak boleh menghalang apa yang orang mahu lakukan di sini, asalkan tidak mengganggu atau berlaku perkara yang tidak diingini.

“Namun, pagi ini kami benar-benar terkejut. Lebih mengejutkan, mayat itu ditemui betul-betul di longkang berhampiran gerai saya. Ini kali pertama kejadian seperti ini berlaku,” katanya.

Dia berkata, kebanyakan peniaga di pasar itu mengenali mangsa yang dipercayai warga tempatan berusia lingkungan 50-an kerana sering mengunjungi pasar berkenaan.

“Mangsa memang selalu datang ke sini, jadi ramai peniaga mengenali wajahnya.

“Setakat yang kami tahu, dia tidak pernah menimbulkan sebarang masalah. Sekarang kami hanya menunggu hasil siasatan polis berhubung kejadian ini,” katanya.

Terdahulu, pengunjung Pasar Awam Sama Gagah gempar selepas menemui mayat seorang lelaki yang berbalut kain di dalam longkang di kawasan pasar berkenaan.

Mayat itu ditemukan dalam keadaan terbaring kira-kira jam 7 pagi sebelum orang awam menghubungi polis bagi memaklumkan penemuan tersebut.

Pasukan forensik kemudian tiba menjalankan siasatan sebelum menghantar mayat berkenaan  ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng, mengesahkan kejadian itu dan katanya siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta punca kematian mangsa.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here