Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
BENTONG: Seramai 10 delegasi Afrika menyertai program lawatan ke kawasan restorasi hutan Projek Restorasi 3RSM Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) di Hutan Simpan Lentang, dekat sini, kelmarin.
Kawasan hutan simpan berkenaan di bawah seliaan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah dijalankan aktiviti pemuliharaan hutan dan tanaman semula pokok spesies hutan bagi mengembalikan fungsi kawasan hutan yang sudah merosot akibat pencerobohan atau secara semulajadi.
Penolong Pengarah Kanan (Silvikultur) Zon Pahang Barat, Tengku Mohd Ridzuan Tengku Ibrahim berkata, program lawatan julung kali diadakan itu sempena program The Third Country Training Programme (TCTP) On Forest Management And Conservation For African Countries dibawa oleh FRIM Incorporated Sdn Bhd menerusi JPSM.
Katanya, pada program sehari itu delegasi turut dibawa melawat dan beramah mesra dengan komuniti Orang Asli Kampung Ulu Chemperoh, Janda Baik, yang menyertai program BuyBack Guarantee.

“Kita membawa mereka sambil memberi penerangan mengenai penubuhan nurseri serta latihan program BuyBack Guarantee yang menyediakan pelbagai spesies pokok hutan untuk dijual kepada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan pihak lain.
“Penerangan berkaitan program berkenaan disampaikan oleh pegawai Pejabat Pembangunan Hutan Zon Pahang Barat dibantu Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong,” katanya yang turut sama pada program itu.
Katanya para peserta dan delegasi berpuas hati dengan aktiviti lawatan diadakan, mereka menimba pengalaman baharu sepanjang mengikuti program tersebut.
Tengku Mohd Ridzuan berkata, menerusi program itu pihaknya turut dapat bertukar fikiran dalam pelbagai perkara termasuk berkaitan perhutanan.
Terdapat dalam kalangan delegasi Afrika yang berminat untuk mengusahakan nurseri bagi menghasilkan benih pokok untuk tujuan ditanam semula di kawasan sesuai di negara berkenaan.
IMedikel TV






