Home Buletin Semasa 5,017 CALON DUDUKI PEPERIKSAAN SMU 2026, TERMASUK 88 DI KEMBOJA

5,017 CALON DUDUKI PEPERIKSAAN SMU 2026, TERMASUK 88 DI KEMBOJA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seramai 5,017 calon menduduki Peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) 2026 yang bermula hari ini, termasuk 88 calon di Kemboja membabitkan enam sekolah.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat, berkata pusat peperiksaan bagi calon di Kemboja ditempatkan di Sekolah An-Nikmah Al-Islamiyah, Phnom Penh.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengadakan lawatan ke Maahad Muhammadi Perempuan bagi meninjau perjalanan peperiksaan berkenaan yang melibatkan 308 pelajar di sekolah itu pada tahun ini.

Katanya lawatan itu turut disertai Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK), Shamsul Abu Bakar serta kakitangan yayasan berkenaan.

“Ia bertujuan melihat sendiri suasana peperiksaan selain memberikan sokongan dan semangat kepada calon yang sedang berusaha mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan pendidikan agama.

“Semua calon diharap diberikan ketenangan hati, dipermudahkan urusan menjawab soalan serta memperoleh keputusan cemerlang” katanya menerusi hantaran media sosial hari ini.

Katanya penghargaan turut diberikan kepada pihak pentadbiran sekolah, guru dan petugas peperiksaan yang memastikan urusan peperiksaan berjalan dengan baik dan teratur.

“Terima kasih kepada pihak pentadbiran sekolah, para guru dan petugas peperiksaan yang telah memastikan perjalanan peperiksaan berlangsung dengan baik dan teratur.

“Semoga usaha mendidik generasi muda ini terus membuahkan hasil dalam melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan mampu memberikan manfaat kepada agama, bangsa dan negeri,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here