Home Buletin Semasa STOR BARANG TAK BERCUKAI DISERBU, PELBAGAI ROKOK SELUDUP, ARAK LEBIH RM700,000 DIRAMPAS

STOR BARANG TAK BERCUKAI DISERBU, PELBAGAI ROKOK SELUDUP, ARAK LEBIH RM700,000 DIRAMPAS

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang berjaya membongkar sebuah stor penyimpanan barangan tidak bercukai dan menahan dua lelaki warga asing serta merampas minuman keras dan rokok putih pelbagai jenama bernilai lebih RM700,000 termasuk cukai.

Serbuan dilakukan Unit Risikan Marin (URM) PPM Wilayah Satu di sebuah premis tidak bernombor di Kubang Semang,Bukit Mertajam, di sini pada Jumaat lalu hasil maklumat risikan berkaitan kegiatan penyeludupan minuman keras dan rokok tidak bercukai.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Pulau Pinang, Asisten Komisioner Jaffri Bidin, berkata operasi itu adalah sebahagian daripada operasi khas yang dilaksanakan bermula 6 Oktober hingga semalam.

Menurutnya, operasi berkenaan diketuai dua pegawai kanan bersama tujuh pegawai rendah polis daripada Unit Risikan Marin Pulau Pinang.

“Hasil serbuan itu, polis menahan dua lelaki warga asing masing-masing berusia 28 dan 36 tahun yang disyaki terbabit dalam kegiatan penyimpanan dan pengedaran barangan tidak bercukai.

“Turut dirampas sebanyak 7,860.64 liter minuman keras serta 180,000 batang rokok putih pelbagai jenama dengan  nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai dianggarkan RM727,351.71,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman selama 10 hari bermula 10 hingga 19 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.

Jaffri berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan Pasukan Polis Marin dalam membanteras kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai yang bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah turut memberi kesan kepada keselamatan dan ekonomi.

Jelasnya, sepanjang tahun ini, PPM Wilayah Satu merekodkan 2,042 tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM174.64 juta.

“Pasukan Polis Marin akan terus memperkukuh usaha penguatkuasaan melalui perkongsian maklumat risikan serta kerjasama erat dengan pelbagai agensi di dalam dan luar PDRM bagi membanteras kegiatan penyeludupan, khususnya melalui laluan laut.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjalankan aktiviti penyeludupan dan tindakan tegas akan terus diambil mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here