RIYADH: Seorang terbunuh dan 11 yang lain cedera dalam serangan di lapangan terbang antarabangsa Riyadh semalam, menurut pihak berkuasa penerbangan awam Arab Saudi.
“Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam (GACA) menjelaskan bahawa serangan itu mengakibatkan kematian seorang warga Pakistan dan kecederaan kepada 11 orang yang lain,” kata pihak berkuasa itu di platform X.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, serangan terbaharu itu berlaku sehari selepas serangan yang didakwa dilakukan kumpulan Houthi dari Yaman yang mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang dan memaksa pihak berkuasa menggantung operasi Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid.
Wartawan AFP dan penduduk tempatan melaporkan terdengar bunyi beberapa letupan di ibu negara Arab Saudi itu pada Ahad.
Terdahulu, pihak berkuasa penerbangan awam menyatakan bahawa serangan itu menyebabkan kecederaan (dengan jumlah yang tidak dinyatakan) dan penilaian kerosakan sedang dijalankan.
Pihak berkuasa kemudian melaporkan satu lagi serangan terhadap lapangan terbang Dammam di bahagian timur, yang turut didakwa disasarkan oleh kumpulan Houthi, sehari selepas pakatan Arab Saudi melaporkan satu projektil terjatuh di kawasan berhampiran.
Tidak lama kemudian, pakatan itu melaporkan kejayaan menembak jatuh sebuah dron, juga di wilayah timur. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






