Home Buletin Semasa IBU, BAYI MAUT NAHAS EMPAT KENDERAAN DI GUA MUSANG

IBU, BAYI MAUT NAHAS EMPAT KENDERAAN DI GUA MUSANG

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

GUA MUSANG: Seorang ibu dan bayi perempuan maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 52, Jalan Gua Musang–Kuala Krai, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 5.30 petang.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah Perodua Myvi merah yang dalam perjalanan dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang terbabas memasuki laluan bertentangan sebaik tiba di lokasi kejadian.

“Kenderaan itu kemudian melanggar bahagian sisi belakang kanan sebuah Perodua Myvi berwarna oren yang datang dari arah bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lagi Perodua Myvi putih.

“Pada masa sama, sebuah motosikal jenis SYM yang berada di belakang Perodua berwarna Myvi putih tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kereta berkenaan, menyebabkan penunggangnya tercampak ke atas jalan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Katanya akibat kejadian itu, dua penumpang Perodua Myvi putih disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mangsa lain yang terbabit dibawa ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala pemandu dan penumpang Perodua Myvi oren dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kedua-dua mangsa yang maut dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Menurut beliau siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Aida, di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang menerusi talian 09-912 1222.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here