Home Buletin Semasa MINDEF MANFAAT TANAH PERLUAS JANAVETERAN PERTANIAN

MINDEF MANFAAT TANAH PERLUAS JANAVETERAN PERTANIAN

Oleh: Wartawan IMedikel TV 

KOTA TINGGI: Tanah milik Kementerian Pertahanan (MINDEF) yang belum mempunyai perancangan pembangunan bagi keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dirancang akan dimanfaatkan untuk memperluas Program JanaVeteran Pertanian.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Boustead Plantations Berhad (BPlant) bagi mengoptimumkan penggunaan tanah berkenaan, selain membuka peluang pekerjaan kepada veteran ATM dalam sektor pertanian.

Beliau berkata, pelbagai jenis tanaman boleh diusahakan mengikut kesesuaian tanah dan potensi setiap negeri, sekali gus menyokong agenda keterjaminan makanan negara.

“Program ini adalah satu usaha daripada pihak Kementerian Pertahanan melalui BPlant dalam pendekatan kita untuk bantu veteran yang bersara.

“Kita menyedari bahawa veteran berhadapan dengan pelbagai cabaran selepas mereka bersara. Satu perkara yang kita kesan ialah pencen mereka tak mencukupi untuk mereka menanggung kehidupan dan membesarkan keluarga mereka, sebab mereka pencen pada umur 40 tahun. 

“Selepas ini, dengan kerjasama Kementerian Pertahanan, banyak tanah kementerian yang belum mempunyai perancangan pembangunan bagi keperluan ATM akan dibenarkan untuk digunakan BPlant bagi mengembangkan Program JanaVeteran Pertanian.

“Apabila kita lakukan itu, (tanaman) tidak semestinya halia (KayTi). Dia mungkin ada pelbagai jenis tanaman ikut negeri. Peluang untuk menyertai dan menjayakan program itu akan dilaksanakan oleh veteran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Program Tuai­an Pertama Halia Kayti JanaVeteran dan Pelancaran JanaKomuniti di FELDA Air Tawar 3, di sini, hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, keterjaminan makanan perlu diberi perhatian serius kerana kekurangan bekalan serta kenaikan harga makanan berpotensi mencetuskan ancaman terhadap keselamatan negara.

Beliau berkata, kebergantungan kepada bekalan makanan yang tidak konsisten dan kos makanan yang tinggi boleh memberi tekanan kepada rakyat, terutama jika keadaan itu berlarutan.

“Macam jerebu inilah. Bila berlaku seluruh negara dan berpanjangan, ia sudah menjadi satu ancaman keselamatan. Tengok macam di Indonesia, mereka berdemonstrasi dan sebagainya, tengok orang dah mula marah-marah bila ia berpanjangan macam ini.

“Sebab itulah rakyat mesti disedarkan ancaman bukan tradisional boleh menjadi ancaman keselamatan, macam jerebu, macam makanan tak cukup dan sebagainya. Makanan tak cukup, harga naik, rakyat tak boleh makan. Jadi sebab itulah kita pastikan kita ada jaminan kita mengeluarkan sendiri makanan kita.

“Kementerian Pertahanan sangat gembira kerana kita nak menyumbang kepada usaha-usaha itu, dan kita terima kasih kepada BPlant,”katanya.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, projek perintis JanaVeteran Halia Kayti di Telok Sengat, di sini, merekodkan hasil tuaian pertama bernilai hampir RM1.2 juta.

Projek pertanian secara fertigasi itu membabitkan penyertaan 15 veteran ATM yang mengusahakan 15 plot tanaman halia di kawasan seluas 12 hektar.

​Melalui inisiatif ini, setiap peserta mengusahakan kira-kira 7,500 polibeg halia dengan sokongan penuh daripada BPlant merangkumi aspek infrastruktur, input pertanian, latihan teknikal dan pemantauan operasi yang berterusan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here