Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Belia orang kurang upaya (OKU), termasuk golongan neurodivergen seperti autisme, gangguan hiperaktif dan kurang daya tumpuan (ADHD) serta individu yang mengalami kesukaran pembelajaran, perlu diberi peluang pekerjaan yang adil tanpa berdepan diskriminasi, buli, gangguan atau eksploitasi di tempat kerja.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, perbezaan dari segi komunikasi, pembelajaran atau interaksi sosial tidak seharusnya menjadi penghalang kepada peluang pekerjaan mereka.
Katanya, sebaliknya majikan perlu menyediakan persekitaran kerja yang selamat, memahami keperluan individu serta menghargai kebolehan setiap pekerja.
“Bagi saya, program pada hari ini membawa satu mesej yang jelas iaitu setiap individu berhak mendapat peluang untuk bekerja, berdikari dan menjalani kehidupan yang bermaruah, tanpa mengira keupayaan fizikal atau cara mereka belajar dan berkomunikasi.
“Kita memahami bahawa antara kebimbangan terbesar ibu bapa ialah masa depan anak-anak mereka selepas tamat persekolahan.
“Adakah mereka akan mendapat latihan kemahiran yang sesuai, adakah majikan bersedia menerima dan membimbing mereka, dan yang paling penting adakah mereka akan dilindungi daripada diskriminasi, buli, gangguan serta eksploitasi di tempat kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Langkah Bersama Berapit 2.0: Kerjaya dan Peluang Warga Belia OKU di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hui Ying berkata, pekerjaan bukan sekadar menjadi sumber pendapatan, malah mampu membina keyakinan diri, mengembangkan kemahiran serta membuka ruang kepada seseorang untuk menyumbang kepada masyarakat.
Katanya, masyarakat juga perlu beralih daripada melihat kekurangan seseorang kepada mengenal pasti kebolehan dan potensi yang boleh dikembangkan.
Dalam pada itu, Hui Ying berkata, usaha memperkasa golongan OKU berlandaskan Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685) yang mengiktiraf hak mereka untuk mengakses kemudahan, pendidikan, pekerjaan, maklumat dan teknologi secara saksama.
Jelasnya, menerusi Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memperkukuh usaha berkaitan aksesibiliti, advokasi, latihan kemahiran dan sokongan pekerjaan termasuk perkhidmatan Job Coach.
Beliau berkata, di bawah Belanjawan MADANI 2027, kerajaan meningkatkan jumlah peruntukan bantuan kepada golongan OKU kepada RM1.5 bilion yang bakal memberi manfaat kepada lebih 300,000 penerima.
Menurutnya, antara langkah utama ialah menaikkan kadar bantuan penjagaan OKU terlantar dan pesakit kronik daripada RM500 kepada RM600 sebulan, meningkatkan had pendapatan kelayakan Elaun Pekerja OKU daripada RM1,700 kepada RM2,000 serta menyediakan pas pengangkutan awam percuma kepada komuniti OKU.

“Selain itu, seramai 3,000 penjaga OKU baharu akan menerima latihan kemahiran khusus, manakala 15 premis Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) akan dinaik taraf menjadi pusat terapi khusus.
“Bagi kanak-kanak berkeperluan pendidikan khas pula, elaun bulanan akan dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 yang bakal memanfaatkan 150,000 murid termasuk anak-anak autistik, selain insentif bulanan kepada 20,000 guru pendidikan khas dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.
“Kerajaan juga akan membina dua pusat Permata Kurnia baharu di Melaka dan Pahang serta membuka lebih 130 kelas Tabika Tunas Istimewa baharu di kawasan luar bandar bagi memperkukuh intervensi awal untuk kanak-kanak autistik daripada keluarga berpendapatan rendah,” katanya.
Hui Ying berkata, usaha memastikan belia OKU mendapat laluan yang jelas daripada alam persekolahan ke alam pekerjaan memerlukan kerjasama menyeluruh antara pelbagai kementerian dan agensi kerajaan melalui pendekatan ‘whole of government’.
Katanya, KPWKM bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pihak berkepentingan lain bagi memastikan sokongan kepada golongan OKU dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu.
Sementara itu, beliau menggalakkan lebih ramai majikan memanfaatkan perkhidmatan Job Coach yang membantu pekerja OKU menyesuaikan diri dengan tugasan dan persekitaran kerja, di samping membimbing majikan memahami keperluan pekerja serta menggunakan kaedah komunikasi yang bersesuaian.
Katanya, penyertaan sektor swasta amat penting kerana usaha mewujudkan peluang pekerjaan yang inklusif tidak boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata.
“Majikan perlu membuka peluang latihan, mengenal pasti bakat dan menyediakan persekitaran kerja yang adil serta selamat. Namun, menyediakan peluang sahaja tidak mencukupi. Kita juga mesti memastikan setiap pekerja dilayan dengan hormat, bebas daripada stigma, diskriminasi dan sebarang bentuk gangguan.
“Tema program ini, ‘Saya Mahu Bekerja, Saya Juga Boleh!’, bukan sekadar ungkapan tetapi satu aspirasi agar belia OKU diberikan peluang untuk membuktikan kemampuan mereka.
“Mereka tidak memerlukan simpati semata-mata. Mereka memerlukan peluang yang adil, sokongan yang bersesuaian dan kepercayaan terhadap kebolehan mereka,” katanya.
IMedikel TV






