Lisbon: Cristiano Ronaldo digantung oleh Persekutuan Bolasepak Portugal (FPF) selepas penyerang itu meninggalkan kem latihan skuad kebangsaan susulan pertelingkahan dengan pengendali, Jorge Jesus.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Insiden bermula apabila Jesus meminta Ronaldo melakukan pemanasan badan ketika Portugal membuka kempen Liga Negara-Negara dengan kemenangan 4-2 ke atas Norway, sebelum membiarkan pemain itu memanaskan bangku simpanan sepanjang perlawanan.
Ronaldo menganggap tindakan itu sebagai satu penghinaan lalu meninggalkan kem pasukan. Dia kemudian mengeluarkan kenyataan permohonan maaf panjang, malah mencadangkan supaya badan induk berkenaan mengenakan hukuman terhadapnya. Namun, kesan daripada insiden itu kini mula dirasai.
Menurut akhbar Britain, Mirror, peraturan FPF menyebabkan penggantungan itu berkuat kuasa secara automatik. Majlis disiplin akan menentukan tempoh hukuman akhir, yang boleh berlangsung antara sebulan hingga enam bulan.
Jika digantung lebih sebulan, Ronaldo akan terlepas dua perlawanan Liga Negara-Negara menentang Denmark dan Wales.
Majlis disiplin dijangka mempertimbangkan semua aspek, termasuk permohonan maaf pemain itu, namun ESPN menjangkakan hukuman jangka pendek lebih berkemungkinan dikenakan.
Bercakap pada Selasa, Ronaldo berkata: “Saya juga perlu memohon maaf kepada rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan kerana meninggalkan kem latihan. Walaupun kepercayaan terhadap kata-kata pengendali sudah jelas dilanggar, seperti yang boleh disahkan mereka yang menyaksikan perbualan itu, saya tidak sepatutnya bertindak demikian.
“Tanggungjawab itu terletak pada saya seorang. Saya sekali lagi memohon maaf kepada rakyat Portugal, tetapi bagi saya, pelanggaran janji yang dibuat kepada saya memberi kesan besar.
“Saya merasakan sejak saat itu, kehadiran saya hanya akan menjejaskan keharmonian pasukan. Jadi, saya melakukan apa yang selalu saya katakan akan dilakukan jika tidak lagi merasakan diri berguna, iaitu mengemas barang dan meninggalkan kem.”
Ronaldo menegaskan tindakannya perlu dikenakan hukuman sewajarnya oleh FPF.
“Akibat daripada tindakan ini perlu dinilai dan saya mesti dihukum oleh Persekutuan Bola Sepak Portugal. Saya sedar tiada alasan yang boleh meringankan hukuman itu.
“Saya bukan pemain biasa. Saya kapten pasukan dan perkara itu sepatutnya menjadi faktor yang memburukkan keadaan,” katanya.
Beliau menambah: “Saya sudah memohon maaf, tetapi saya tahu setiap tindakan mesti ada akibatnya. Semua yang bekerja dalam bola sepak seperti saya tahu bahawa peraturan terpakai kepada semua orang tanpa mengira kedudukan masing-masing.”
Sementara itu, Jesus cuba meredakan keadaan dengan berkata: “Saya sudah membaca kenyataan itu dan kini saya meneruskan tugas seperti biasa setiap hari. Saya akan ke pejabat persekutuan untuk bekerja dan memikirkan pasukan.”
Ronaldo sudah membuat 234 penampilan bersama Portugal sejak melakukan penampilan sulung di peringkat antarabangsa, selain menjaringkan rekod 146 gol.– AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






