Home Luar Negara NEPAL PENDEKKAN TEMPOH ISYTIHAR KEMATIAN MANGSA BENCANA KEPADA 45 HARI

NEPAL PENDEKKAN TEMPOH ISYTIHAR KEMATIAN MANGSA BENCANA KEPADA 45 HARI

Kathmandu: Presiden Nepal pada Jumaat memendekkan tempoh menunggu untuk mengisytiharkan mangsa bencana yang hilang sebagai meninggal dunia, daripada 12 tahun kepada kira-kira 45 hari, ketika ribuan orang masih belum ditemukan selepas banjir dahsyat melanda negara Himalaya itu.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Banjir berpunca daripada runtuhan glasier dan ais di kawasan sempadan China-Nepal pada 26 Ogos lalu.

Limpahan air banjir seperti tsunami melanda beberapa daerah, memusnahkan jalan raya, jambatan dan empangan hidroelektrik selain mengorbankan lebih 1,400 orang.

Lebih 5,000 orang masih dilaporkan hilang termasuk ratusan warga asing.

Sebelum ini, undang-undang Nepal menetapkan seseorang yang hilang perlu menunggu selama 12 tahun sebelum boleh diisytiharkan meninggal dunia di sisi undang-undang.

“Tempoh 12 tahun itu kini dikurangkan kepada kira-kira 45 hari,” kata jurucakap kerajaan, Sasmit Pokharel selepas mesyuarat Kabinet mengemukakan ordinan yang meminda tempoh berkenaan kepada Presiden.

Penasihat akhbar kepada Presiden Ram Chandra Poudel, Kiran Pokharel mengesahkan bahawa ordinan berkaitan undang-undang bencana dikeluarkan, namun tidak mendedahkan butiran terperinci mengenai pindaan itu.

Setakat ini, hanya 112 mayat berjaya dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga masing-masing.

Pasukan penyelamat menghabiskan masa berminggu-minggu mencari mangsa di celah lumpur dan mendapan setinggi beberapa meter, selain memeriksa rumah yang rosak akibat banjir bagi mengesan mangsa terselamat dan mayat korban.

Lebih sebulan selepas bencana itu, keluarga mangsa yang masih hilang belum memperoleh sijil kematian, sekali gus menyukarkan mereka mendapatkan pampasan atau menyelesaikan urusan harta pusaka.

Sebilangan keluarga dilaporkan sudah mengadakan upacara pengebumian simbolik bagi ahli keluarga yang masih belum ditemukan. –AFP, HMetro Online.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here