Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
BACHOK: Penjawat awam digalakkan terus memperkasa ilmu pengetahuan dan kemahiran dengan melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda, sarjana serta Doktor Falsafah (PhD), selaras keperluan pembelajaran sepanjang hayat dalam perkhidmatan awam.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, pembelajaran sepanjang hayat perlu menjadi keutamaan penjawat awam bagi memastikan pengetahuan dan kemahiran mereka sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi yang pesat.
Menurutnya, jika sebelum ini sesuatu bidang ilmu mungkin mampu bertahan sehingga 20 tahun, tempoh itu kini mungkin hanya sekitar lima hingga enam tahun berikutan perubahan teknologi yang begitu pantas.
“Sekarang ini sesuatu ilmu itu mungkin tidak dapat bertahan lama dengan kepesatan pembangunan teknologi.
“Kalau dulu mungkin satu-satu bidang itu boleh bertahan sehingga 20 tahun, tetapi sekarang hanya mungkin boleh bertahan antara lima hingga enam tahun sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan Syarahan Perdana Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam 2026 di Dewan Tuanku Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini, hari ini.
Wan Ahmad Dahlan berkata, kerajaan turut menyediakan tawaran kepada penjawat awam untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan lebih tinggi termasuk PhD, selain mengikuti kursus jangka pendek bagi menambah pengetahuan.
Katanya, kursus dan pengajian berkenaan disediakan supaya penjawat awam dapat meningkatkan pengetahuan dalam bidang yang selari dengan bidang tujahan serta keutamaan negara pada masa hadapan.
“Saya menyeru kepada semua penjawat awam agar mengambil peluang yang ada untuk menambah ilmu pengetahuan kerana pembelajaran ini tiada noktahnya.
“Kita perlu sentiasa mempertingkatkan kemahiran, pengetahuan dan juga apa juga perkara yang boleh memberikan nilai tambah kepada perkhidmatan yang kita berikan kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata program sedia ada turut ditambah baik termasuk melalui program Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu bagi Tujuan Penganugerahan Kelayakan (APEL Q), yang memberi peluang kepada penjawat awam yang sedang berkhidmat untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana dan PhD dengan mengambil kira pengalaman kerja sebagai salah satu elemen dalam pengajian.
Menurutnya, kerajaan turut menanggung separuh daripada kos pengajian berkenaan.
“Ini adalah satu perkara baru dalam perkhidmatan awam yang telah diluluskan oleh kerajaan khusus untuk penjawat awam yang sedia ada dalam perkhidmatan menyambung pendidikannya,” katanya.
Mengulas sama ada terdapat insentif khusus seperti kenaikan pangkat selepas memperoleh PhD, Wan Ahmad Dahlan berkata, kelayakan akademik itu tidak bermakna seseorang penjawat awam akan terus dinaikkan pangkat.
Katanya, proses kenaikan pangkat tertakluk kepada kaedah dan ketetapan tertentu, manakala peluang melanjutkan pengajian lebih kepada usaha meningkatkan keupayaan penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
IMedikel TV






