Oleh: Wartawan IMedikel TV
KOTA TINGGI: Seorang ibu tunggal dan seorang buruh kasar masing-masing didenda RM3,000 dan RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Pengerang, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memperdaya pemilik kedai pajak gadai dengan menggadaikan gelang tangan disangka emas tulen, tetapi sebenarnya palsu.
Tertuduh, Jameah Ibrahim, 48, didenda RM3,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda, manakala Yussuf Harun, 62, didenda RM4,000 atau penjara lapan bulan jika gagal membayar denda.
Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Mengikut pertuduhan, Jameah didakwa memperdaya pemilik sebuah kedai pajak gadai dengan mendakwa seutas gelang tangan seberat 23 gram yang digadaikannya adalah emas tulen, sedangkan barang kemas itu sebenarnya palsu.
Perbuatan itu dilakukan dengan niat mendapatkan wang RM8,000 di sebuah kedai pajak gadai di Sungai Rengit, Pengerang, Kota Tinggi, kira-kira jam 12.46 tengah hari pada 29 September lalu.
Bagi kesalahan itu, Jameah didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun setengah atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Yussuf didakwa memperdaya individu sama dengan menggadaikan seutas gelang tangan emas tulen seberat 9.2 gram, sedangkan gelang berkenaan adalah palsu bagi mendapatkan wang RM3,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan dilokasi sama kira-kira jam 3.10 petang pada 14 September lalu.
Yussuf didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nursyafiq Abd Halim, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
IMedikel TV






