Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
KOTA BHARU: Rayani 2.0 merancang untuk kembali ke industri penerbangan dengan memberi tumpuan khusus kepada sektor Umrah dan Haji, termasuk meneroka pasaran Indonesia yang dilihat mempunyai potensi besar.
Pengerusi Rayani 2.0, Datuk Mohd Jamil Muhamed berkata, syarikat itu menyasarkan permulaan operasi pada 2027 menggunakan dua pesawat Airbus A330-300 yang mampu membawa sehingga 400 penumpang bagi setiap penerbangan.
Mohd Jamil yang juga Pengerusi Eksekutif D’ Kenali Holidays Sdn Bhd, berkata, sebagai langkah awal, Rayani 2.0 sedang meninjau kerjasama dengan syarikat penerbangan Indonesia, Sriwijaya Air, bagi membolehkan operasi dijalankan melalui Sijil Pengendali Udara (AOC) milik syarikat tersebut sementara memenuhi keperluan kawal selia.
“Antara laluan yang sedang dikaji termasuk penerbangan terus dari Jakarta dan Surabaya ke Jeddah serta Madinah, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa, hak trafik dan slot lapangan terbang.
“Struktur pemilikan di Indonesia melibatkan pegangan 51 peratus dari Ibu Zuriani (Indonesia) dan Datuk Karthiyani Govindan (Malaysia) sebanyak 49 peratus. Fokus awal adalah kepada penerbangan charter membawa jemaah Umrah dan Haji ke Arab Saudi,” katanya kepada I Medikel TV, hari ini.
Penasihat Patuh Syariah Malaysia Indonesia itu turut memaklumkan bahawa sambutan daripada agensi Umrah dan Haji di Indonesia setakat ini adalah menggalakkan, sekali gus memberi keyakinan terhadap potensi pasaran tersebut.
“Rayani 2.0 merancang untuk memulakan penerbangan Umrah dari Indonesia pada Januari tahun hadapan, manakala operasi penerbangan bagi musim Haji dijadual bermula pada April,” katanya.
Bagaimanapun, jelasnya, projek berkenaan masih berada di peringkat perancangan dan beberapa aspek penting seperti pengesahan pesawat, kerjasama operasi, kelulusan regulator serta pembangunan rangkaian ejen pelancongan perlu diselesaikan sebelum penerbangan komersial pertama dapat direalisasikan.
Katanya, Rayani 2.0 bukan sekadar usaha menghidupkan semula jenama lama, tetapi bercita-cita membangunkan rangkaian penerbangan Umrah serantau yang menghubungkan Malaysia, Indonesia dan Arab Saudi.
“Kami ingin menjadi perusahaan penerbangan khusus Umrah dan Haji pada masa depan,” katanya.
IMedikel TV






