Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
BENTONG: Seramai 480 prospek lelaki dan perempuan terpilih menyertai Program Sukan Madani Rakyat Peringkat Penjara Bentong di Padang Program Pembangunan Insan (PPI), Penjara Bentong, kelmarin.
Pertandingan selama tiga hari itu membabitkan 11 acara antaranya seperti bola jaring, dam aji, sepak takraw, boling padang, bola tampar, sepakan penalti, bola sepak jalanan, karom dan tarik tali.
Pengarah Penjara Bentong, Timbalan Komisioner Penjara (TKP) Ahmad Rizal Mohd Ghazali, berkata program diadakan merupakan salah satu inisiatif pemulihan prospek melalui aktiviti sukan yang dapat membentuk disiplin.

“Selain membentuk semangat kerjasama, kawalan emosi, kesihatan fizikal dan kemahiran sosial di samping mempersiapkan prospek untuk proses reintegrasi ke dalam masyarakat,” katanya.
Menurutnya, pertandingan yang diadakan turut menjadi platform dalam memupuk semangat kesukanan, kepimpinan dan kerjasama selain mengeratkan hubungan dikalangan prospek di blok penempatan mereka.
“Kemeriahan jelas dapat dilihat sepanjang tiga hari pertandingan diadakan, setiap prospek berusaha memberi yang terbaik bagi memenangi acara yang diadakan.
“Terdapat dikalangan prospek memiliki kemahiran tinggi dan mereka berpeluang terpilih mewakili Penjara Bentong ke Karnival Sukan Sejahtera Madani Prospek Jabatan Penjara Malaysia,” katanya.
Majlis Penutup Program Sukan Madani Rakyat Peringkat Penjara Bentong disempurnakan oleh Penguasa Penjara (PP) Noor Shafrizal Mohd Razali.

Hadir sama Timbalan Penguasa Penjara (TPP) Norzubaidy Nordin.
Kru IMedikel TV mendapati rata-rata prospek yang mengambil bahagian dalam acara yang dipertandingkan berpuas hati apabila berpeluang mempamerkan kebolehan masing-masing di samping dapat rasa tekanan daripada pelbagai kesalahan yang mereka lakukan.
IMedikel TV






