Home Sukan HANYA 1 SAAT PISAH KEMENANGAN AMIR

HANYA 1 SAAT PISAH KEMENANGAN AMIR

AICHI: Atlet judo negara, Amir Daniel Abdul Majeed hampir mencipta kejutan pada penampilan sulungnya di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 apabila hanya dipisahkan satu saat untuk menumbangkan bekas naib juara dunia dari Jepun, Sotaro Fujiwara.

Memetik laporan Harian Metro, pada aksi pusingan 16 terbaik kategori bawah 81 kilogram (kg) di Arena Antarabangsa Aichi, Amir hampir melengkapkan kemenangan apabila berjaya mengunci Fujiwara selama 19 saat, namun terlepas daripada kuncian sebelum cukup tempoh 20 saat yang diperlukan untuk kemenangan penuh.

Fujiwara kemudian melakukan balingan yang menghasilkan mata penuh (ippon), sekali gus menamatkan cabaran Amir dan menafikan peluangnya mara ke suku akhir.

Amir, 21, mengakui kesilapan menukar strategi pada saat akhir menjadi pengalaman mahal buat dirinya, namun menganggap ia sebagai pengalaman penting dalam perjalanan kariernya.

“Saya hanya perlukan satu saat lagi untuk menang keseluruhan perlawanan. Saya berjaya menguncinya selama 19 saat dan untuk menang penuh saya perlu bertahan 20 saat.

“Selepas itu, pertukaran strategi saya tidak begitu tepat dan itu kesilapan saya. Saya perlu belajar daripada pengalaman mahal ini dan membawanya ke dalam impian Olimpik saya,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Amir berkata, dia turut berasa gementar kerana ini adalah penampilan sulungnya di Sukan Asia selain kali pertama beraksi di Jepun, negara asal judo.

“Memang sangat gementar kerana ini penampilan pertama dan lawan saya pula bekas naib juara dunia serta pemenang pingat dalam Jelajah Dunia.

“Tetapi dalam judo apa sahaja boleh berlaku dan saya hanya cuba memberikan yang terbaik,” katanya.

Amir yang juga penuntut tahun akhir Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, pengalaman beraksi di Sukan Asia memberinya gambaran mengenai tahap sebenar persaingan yang perlu dihadapi dalam usahanya memburu tiket Olimpik.

“Judo di Sukan Asia seperti mini Olimpik kerana semua atlet terbaik ada di sini, termasuk juara dan pemenang pingat Olimpik.

“Saya belajar bahawa pengalaman sangat penting dan saya perlu lebih mempercayai kemampuan diri sendiri,” katanya.

Amir sebelum ini mencipta sejarah pada Julai lalu apabila menjadi atlet judo pertama Malaysia memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel Glasgow 2026. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here