AYER KEROH: Kenyataan Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad berhubung kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, tidak akan dijadikan penanda aras kepada keputusan Barisan Nasional (BN) untuk rundingan persefahaman dengan Pakatan Harapan (PH).
Memetik laporan Berita Harian, Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata pihaknya hanya akan mengambil kira keputusan rasmi Majlis Presiden PH untuk hala tuju rundingan, dan kenyataan pemimpin secara individu tidak boleh dijadikan asas menentukan pendirian keseluruhan PH.
“Itu (kenyataan Khalid) saya tidak ambil sebagai penanda aras, sebab yang penting adalah keputusan Majlis Presiden PH. Kalau Majlis Presiden kata tak nak, tak apa, nak buat macam mana.
“Saya tidak mahu dikatakan `hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri Melaka, di Seri Bendahara di sini, malam tadi.
Kelmarin, Khalid dilaporkan berkata PH tidak akan bersama dengan BN bagi PRN Melaka Ke-16, dan perkara berkenaan sudah diputuskan PH.
Katanya setakat ini, gabungan berkenaan terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti lain, kecuali BN dan Perikatan Nasional (PN).
Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka, berkata mana-mana pihak berhak untuk menyatakan pendirian masing-masing berhubung cadangan persefahaman politik.
Katanya, sehubungan itu BN akan menunggu perkembangan selepas jemputan rasmi rundingan bagi melihat sama ada perbincangan persefahaman politik dapat diteruskan atau sebaliknya.
“Kita tunggulah selepas jemputan rasmi ini dibuat, sama ada perbincangan ini boleh dijalankan atau keputusan untuk bersama boleh diteruskan atau tidak, terserah kepada mana-mana pihak untuk bersama-sama dengan kita,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






