Kuala Lumpur: “Sekufu bukan lagi pasal harta atau status, tapi sefahaman dan satu ‘frekuensi’.”
Demikian penjelasan pelakon Puteri Sarah Liyana yang tampil memberi respon selepas pendapatnya mengenai kriteria pasangan hidup yang sekufu disalahertikan sesetengah netizen di media sosial.
Memetik laporan Harian Metro, Puteri Sarah, 41, mengakui persepsinya terhadap makna sekufu kini sudah berubah berbanding sewaktu di awal usia matang, lebih-lebih lagi selepas melalui pengalaman dalam alam rumah tangga sebelum ini.
“Ya, orang selalu salah faham. Orang ingat sekufu itu pasal harta atau pendidikan, bukan. Dulu pada awal-awal mungkin ya, itu pemikiran saya.
“Tapi sebab saya pernah berada dalam alam perkahwinan, jadi pada saya maksud sekufu itu sudah lain.
“Maksud saya sekufu itu adalah sama pemikiran, sefahaman dan kita boleh berkomunikasi. Orang selalu fikir sekufu itu harta atau status. Bagi saya bukan lagi seperti itu,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Puteri Sarah, apa yang menjadi keutamaannya kini adalah memiliki pasangan yang mempunyai tahap mentaliti serta pemikiran yang selari demi memastikan kelangsungan sesebuah hubungan.
Katanya, sebagai contoh, keharmonian rumah tangga Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali adalah gambaran tepat mengenai maksud sekufu yang diperkatakannya.
“Mentaliti. Itu yang kita mahukan. Insya-Allah perkahwinan saya yang seterusnya, itulah yang saya mahukan. Itulah yang saya maksudkan sekufu.
“Saya tengok contoh seperti Tun M (Dr Mahathir) dengan arwah Tun (Dr Siti) Hasmah, itu yang saya maksudkan sekufu. Saya penat nak guna perkataan sekufu, nanti orang salah faham lagi, maksud saya ialah mentaliti dan ‘frequency’ yang sama,” katanya.
Disoal kepentingan aspek kewangan bagi bakal pasangannya, ibu kepada dua cahaya mata ini tidak menafikan kestabilan ekonomi memainkan peranan, namun bukan eutamaan mutlak berbanding keserasian fikiran.
“Saya takut nak jawab. Nak kata harta tak penting itu tidaklah, perlulah untuk bayar bil dan sebagainya. Pada saya yang penting ialah mentaliti. Kewangan kena stabillah, sebab kita pun bekerja juga, jadi kita sama-samalah,” katanya.
Dalam pada itu, Puteri Sarah menegaskan setiap individu berhak menetapkan kriteria dan usaha dalam mencari pasangan yang sesuai dengan jiwa masing-masing sebelum membuat keputusan melangkah ke fasa perkahwinan.
“Memang kita tak tahu jodoh atau bakal suami kita macam mana kalau Allah dah bagi. Tapi sebagai manusia, kita juga kena mencari yang sesuai untuk kita.
“Sebab orang selalu kata pasal jodoh. Ya, jodoh. Tapi kita berhak untuk mencari apa yang kita rasa sesuai. Bila dah duduk satu meja, dah kenal dan bercakap, kita boleh tahu dia sesuai atau tidak dengan kita,” katanya.
Sarah ditemui pada majlis tahlil untuk Allahyarham Dr Siti Hasmah yang berlangsung di Musolla Aisya, di sini, malam tadi.
Majlis anjuran Datin Seri Umie Aida dan Erma Fatima itu dihadiri rakan-rakan artis serta kenalan. – HMetro Online –
IMedikel TV






