Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun maut selepas terbabit dalam nahas tiga kenderaan di Kampung Tiong, Jalan Kubang Kacang, di sini, petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Tumbuh,Juhari Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu menerusi NG999 pada jam 6.08 petang sebelum jentera tiba di lokasi enam minit kemudian.
Menurutnya, kemalangan itu membabitkan sebuah Mitsubishi Triton, Perodua Myvi dan Toyota Vios.
“Setibanya di lokasi, komander operasi mendapati benar berlaku kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan.
“Terdapat seorang mangsa lelaki warga emas berada di bawah Mitsubishi Triton,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Beliau berkata, mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba pada jam 6.25 petang.
Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh Pembantu Perubatan (MA) Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) kira-kira jam 6.30 petang.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Operasi membabitkan tujuh anggota BBP Pasir Tumbuh bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT).
IMedikel TV






