Home Buletin Semasa JIM PAHANG TAHAN 37  WARGA ASING DI DUA LOKASI BERASINGAN

JIM PAHANG TAHAN 37  WARGA ASING DI DUA LOKASI BERASINGAN

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

TEMERLOH: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang menahan seramai 37 warga asing pada operasi penguatkuasaan di Temerloh dan Bera, kelmarin.

Operasi membabitkan pemeriksaan di premis dan tempat kediaman di dua daerah berkenaan dilakukan anggota Bahagian Penguatkuasa JIM Pahang.

Dalam kenyataan menerusi Facebook JIM Pahang, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 146 individu yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan seperti tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas lawatan kerja, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Seramai 37 yang ditahan dikenakan reman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan mereka ditahan di Depot Imigresen Kemayan, Bera bagi siasatan lanjut,” kata JIM.

JIM Pahang menyeru orang ramai untuk tampil bekerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan keberadaan PATI di lokaliti masing-masing bagi membantu pihak berkuasa membanteras isu kebanjiran PATI di negeri ini.

“Kebanyakan PATI terbabit menjalankan pekerjaan dalam sektor pembinaan dan pertanian. Kebanyakan kesalahan dilakukan ialah tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas lawatan kerja dan tinggal lebih masa,” menurut JIM.

JIM Pahang akan terus mengadakan operasi penguatkuasaan di negeri ini dalam memastikan golongan terbabit mematuhi peraturan dan undang-undang yang ada di negara ini.

JIM Pahang berkata pihaknya tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap PATI dan mana-mana pihak yang menggaji serta memberi perlindungan kepada golongan terbabit.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here