Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
KOTA BHARU: Semangat kejiranan dan kebersamaan penduduk kampung terus diperkukuhkan menerusi penganjuran Sukan Rakyat 2026 yang menghimpunkan penduduk Melor dari Kampung Padang Raja, Kampung Sri Kulim serta Kampung Bukit Kecik sempena Sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan, semalam.
Lebih menarik, acara tarik tali yang menjadi tumpuan utama kejohanan menawarkan hadiah seekor lembu kepada pasukan juara, sekali gus menyuntik semangat persaingan sihat dalam kalangan peserta.
Wakil penduduk Kampung Padang Raja, Mohd Azlan Shahril Paudin, 38, berkata, kejuaraan acara tarik tali akhirnya menjadi milik Kampung Padang Raja selepas menewaskan pesaing lain dalam perlawanan yang berlangsung dalam suasana meriah di Padang Sekolah Menengah Ugama Arab SMU (A) Azhariah Melor.

“Program seperti ini dapat merapatkan hubungan antara kampung dengan kampung. Alhamdulillah, kali ini pasukan kami muncul juara dan menerima hadiah seekor lembu. Dua minggu lepas kami juga berjaya membawa pulang dua ekor kambing dalam pertandingan lain,” katanya.
Menurutnya, program seumpama itu bukan sahaja medan pertandingan tetapi menjadi platform merapatkan hubungan silaturahim antara penduduk yang selama ini tinggal dalam komuniti berbeza.
Sementara itu, wakil penduduk Kampung Sri Kulim yang juga Presiden di bawah Sekretariat Bola Sepak Masjid Mahmudi, Wan Ali Wan Noh, 66, berkata penganjuran sukan melibatkan tiga kampung wajar diteruskan kerana memberi banyak manfaat kepada masyarakat setempat.

Katanya, pertandingan selama dua hari itu berjaya mencungkil bakat sukan dalam kalangan penduduk kampung di samping memupuk semangat kesukanan yang tinggi dengan sokongan luar biasa daripada penduduk.
Beliau berkata, penglibatan aktif belia dan remaja dalam aktiviti seperti bola sepak, tarik tali serta sukan rakyat dapat membantu mengisi masa lapang dengan aktiviti yang bermanfaat sekali gus mengurangkan kecenderungan terhadap gejala sosial.
Jelasnya, selain mengukuhkan hubungan kejiranan, program itu turut menghidupkan semula pelbagai permainan tradisional yang semakin dilupakan seperti lari dalam guni dan bawa guli, sekali gus memberi peluang kepada generasi muda mengenali warisan budaya masyarakat kampung.
Tambahnya, penganjuran Sukan Rakyat 2026 juga memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat apabila kehadiran peserta dan penyokong membuka peluang kepada peniaga kecil menjana pendapatan melalui jualan makanan dan minuman sepanjang program berlangsung.
Bagi Imam Tua Masjid Mahmudi Mukim Kedai Melor, Wan Ziadul Khair Wan Mustafha berkata, program di bawah Penaung, Dr Ziad Azhari itu adalah anjuran Masjid Mahmudi Mukim Kedai Melor bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Padang Raja diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai medium penyatuan masyarakat, di samping memperkukuh semangat muafakat yang menjadi kekuatan komuniti luar bandar.
“Selain aktiviti bersukan untuk menyihatkan badan, pihak masjid juga telah membuka peluang infak melalui tabung pembinaan masjid dengan kutipan berjaya dikumpulkan sebanyak RM1,316. Semoga sumbangan ini menjadi amal jariah yang berpanjangan buat kita semua,” katanya.
IMedikel TV






