Home Buletin Semasa VIDEO PUKUL DI 7-ELEVEN MERSING: SUSPEK DIDAKWA HARI INI

VIDEO PUKUL DI 7-ELEVEN MERSING: SUSPEK DIDAKWA HARI INI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

MERSING: Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian seorang lelaki dipukul di sebuah kedai serbaneka 7-Eleven di Jalan Ismail, Mersing, yang tular menerusi aplikasi Threads oleh pemilik akaun Ameera@kopikemilo_.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai video berdurasi satu minit 45 saat itu, semalam.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi, 25 September lalu, membabitkan dua lelaki tempatan.

“Kejadian dipercayai tercetus selepas suspek berang apabila mangsa dikatakan memotong kenderaan yang dinaikinya sebelum membunyikan ekzos dengan kuat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata bunyi bising itu dipercayai menyebabkan bayi yang sedang dipangku isteri suspek terjaga dan menangis.

“Suspek kemudiannya didakwa memukul mangsa yang mendapatkan rawatan di hospital selepas kejadian.

“Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan soft tissue injury pada bahagian pipi kiri dan perut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan,” katanya.

Beliau berkata jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Abdul Razak berkata, kertas siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor semalam.

“Hasil arahan yang diterima, suspek akan dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan mangsa.

“Pertuduhan dijalankan di Mahkamah Majistret Mersing hari ini,” katanya.

Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak mengikut emosi sehingga boleh membawa kepada implikasi undang-undang.

Sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing di talian 07-799 2222, direct line 07-799 1300, hotline 07-799 6224 atau Tablet DCC 07-799 3507.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here