Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh usaha mendidik generasi baharu supaya membesar dalam persekitaran yang bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, usaha itu memerlukan kerjasama semua pihak termasuk media dan masyarakat dalam membentuk generasi yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap bahaya rasuah.
Menurutnya, pendekatan pencegahan bukan semata-mata berkaitan tindakan terhadap individu yang melakukan kesalahan, sebaliknya turut memberi penekanan kepada usaha meningkatkan kesedaran masyarakat.

“Kita bersama-sama mendidik generasi yang baharu ke arah generasi baharu tanpa rasuah.
“Kita gunakan platform yang ada bersama rakyat dan media untuk membangunkan generasi baharu yang bebas daripada rasuah, bebas daripada salah guna kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Persaraan dan Serah Terima Tugas Pengarah SPRM Negeri Kelantan, Azmin Yusoff, di sini hari ini.
Azmi berkata, SPRM akan terus melaksanakan tanggungjawabnya dalam menangani laporan berkaitan rasuah berdasarkan asas dan maklumat yang diterima.
Katanya, persepsi terhadap SPRM yang timbul menerusi media sosial tidak seharusnya menghalang agensi itu daripada melaksanakan tugas berdasarkan fakta serta proses siasatan.
“Walaupun mungkin mengambil masa yang panjang, apabila ada laporan dan apabila ada asas, kita teruskan sesuatu. Kita tidak lambat bertindak, kita bertindak mengikut masa dan keadaan yang sesuai,” katanya.
“Antaranya kes isu tabung haji baru-baru ini kita menjalankan siasatan mendalam dan bertindak pantas bagi menanganinya.
“Kita juga berharap masyarakat supaya dapat melaporkan segera berhubung salah laku rasuah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan persaraan bukan pengakhiran kepada perjuangan seseorang penjawat awam, sebaliknya satu peralihan daripada medan rasmi kepada kehidupan peribadi.
Katanya, selepas bersara, seseorang masih boleh menyumbang kepada masyarakat menerusi pengalaman dan kepakaran yang dimiliki.

“Persaraan ini bukan noktah daripada perjuangan, hanya satu peralihan daripada medan rasmi kepada medan peribadi.
“Dulu kita buat semua orang tengok, semua hasil atas nama SPRM dan kerajaan. Sekarang ini buat sendiri-sendiri, semuanya untuk diri sendiri,” katanya.
Pada majlis sama, Azmi turut merakamkan penghargaan kepada Azmin atas khidmat, sumbangan dan komitmen sepanjang menerajui SPRM Negeri Kelantan.
Azmin yang berkhidmat selama 33 tahun, selain berkhidmat dengan agensi kerajaan dan SPRM akan bersara wajib pada 3 Oktober depan.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada keluarga Azmin yang disifatkan sebagai tulang belakang penting dalam menyokong perjalanan tugas beliau sepanjang berkhidmat dalam SPRM.
Azmi turut mendoakan agar Azmin bersama keluarganya menikmati kehidupan persaraan dengan bahagia serta memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kesilapan, kekasaran bahasa atau kekurangan sepanjang tempoh perkhidmatan.
IMedikel TV






