Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menggagalkan cubaan mengedar sebanyak 43 tan beras disyaki tidak berkastam dalam dua operasi berasingan di Machang dan Kota Bharu, pada 14 dan 15 Jun lalu.
Pengarah Kastam Negeri Kelantan, Mohd Hisham Mohd Nor berkata, operasi berkenaan dijalankan Cawangan Penguatkuasaan Bukit Bunga dan Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang, susulan maklumat awam yang diterima.
“Kes pertama pada kira-kira jam 11.30 malam, 14 Jun lalu, membabitkan pemeriksaan sebuah motortreler jenis HINO di Simpang 3, Balai Bomba, Machang.
“Hasil pemeriksaan menemukan 560 guni beras seberat 50 kilogram setiap satu, menjadikan keseluruhan rampasan 28,000 kilogram atau 28 tan.
“Beras berkenaan dianggarkan bernilai RM75,600 dengan duti dan cukai berjumlah RM30,240, manakala motortreler terbabit dianggarkan bernilai RM400,000.
“Keseluruhan nilai rampasan termasuk duti dan cukai bagi kes pertama dianggarkan RM505,840,” katanya dalam satu kenyataan media.
Manakala kes kedua pula, beliau berkata pada kira-kira jam 10.30 pagi, 15 Jun lalu, pasukan operasi Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang menyerbu sebuah gudang di Kampung Teluk Kandis, Mukim Pendek, Kota Bharu.
“Pemeriksaan bersama pemilik gudang menemukan 300 guni beras dengan setiap guni seberat 50 kilogram, menjadikan keseluruhan 15,000 kilogram atau 15 tan.
“Beras berkenaan dianggarkan bernilai RM40,500 dengan duti dan cukai berjumlah RM16,200, menjadikan keseluruhan nilai rampasan termasuk duti dan cukai sebanyak RM56,700,” katanya.
Mohd Hisham berkata, keseluruhan rampasan daripada kedua-dua kes membabitkan 43,000 kilogram atau 43 tan beras, dengan nilai keseluruhan termasuk duti dan cukai serta kenderaan dianggarkan RM562,540.
Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket dipercayai menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bagi membawa masuk beras secara tidak sah sebelum disimpan di gudang untuk diedarkan.
“Beras terbabit diklasifikasikan sebagai barang larangan import di bawah Butiran 25(1), Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Pengimportan beras ke Semenanjung Malaysia tertakluk kepada lesen import yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Negara.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.
Dalam pada itu, JKDM Kelantan menggesa orang ramai terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan termasuk beras, rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.
Maklumat boleh disalurkan menerusi Talian Bebas Tol Kastam di 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat, dengan identiti pemberi maklumat dijamin dirahsiakan.
IMedikel TV






