Home Sukan DUA EMAS, DUA GANGSA SUKAN ASIA SKUAD KARATE HASIL USAHA KERAS KBS,...

DUA EMAS, DUA GANGSA SUKAN ASIA SKUAD KARATE HASIL USAHA KERAS KBS, MSN DAN ISN

KUALA LUMPUR: Dua pingat emas dan dua gangsa yang diraih skuad karate negara di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 membuktikan ekosistem sokongan dan persiapan rapi yang dibangunkan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) serta Institut Sukan Negara (ISN) mula membuahkan hasil.

Memetik laporan Berita Harian, Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) menyifatkan pencapaian itu bukan kejayaan yang hadir secara kebetulan, sebaliknya hasil perancangan tersusun, persediaan rapi serta kerjasama erat semua pihak dalam memastikan atlet berada pada tahap terbaik ketika beraksi di pentas antarabangsa.

Presiden MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad merakamkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari atas sokongan serta komitmen berterusan terhadap pembangunan sukan karate negara.

Menurut MAKAF, perhatian diberikan terhadap prestasi, persediaan pertandingan dan kebajikan atlet membantu memberikan keyakinan kepada barisan atlet untuk berjuang dengan penuh fokus.

“Bagi MAKAF, kejayaan atlet tidak lahir hanya di gelanggang pertandingan. Ia bermula jauh lebih awal melalui sistem sokongan yang kukuh, perancangan yang tepat dan keyakinan bahawa kebajikan atlet sentiasa diberi perhatian,” menurut kenyataan itu. 

Pada masa sama, MSN turut memainkan peranan menerusi Program Podium yang menyediakan persiapan menyeluruh kepada atlet, sekali gus membolehkan mereka menjalani persediaan secara lebih sistematik dan terancang.

Sokongan berkenaan bukan hanya tertumpu kepada prestasi, malah merangkumi aspek kebajikan dan keperluan atlet sepanjang tempoh persiapan, dengan dua emas dan dua gangsa di Aichi-Nagoya menjadi antara hasil daripada ekosistem yang dibina secara berterusan itu.

Dalam pada itu, ISN pula menyumbang kepakaran dalam aspek sains sukan, pemakanan sukan, prestasi, pemulihan dan sokongan saintifik bagi memastikan atlet membuat persediaan lebih sistematik berdasarkan keperluan prestasi semasa. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here