ATHENS: Seorang wanita dan lelaki warga Amerika Syarikat (AS) disahkan maut manakala empat lagi mangsa dilaporkan masih hilang selepas sebuah bangunan kediaman dua tingkat runtuh akibat letupan kuat di kawasan tumpuan pelancong di pusat bandar Athens, Greece.
Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, letupan yang berlaku pada Jumaat di daerah Plaka, berhampiran lokasi bersejarah popular seperti Acropolis dan Kuil Zeus turut mencederakan tiga penduduk serta merosakkan deretan kedai, rumah dan kenderaan berhampiran.
Pegawai jabatan bomba memaklumkan, mayat seorang wanita muda dan lelaki ditemui di bawah runtuhan konkrit dan besi pada awal pagi Sabtu, manakala pasukan penyelamat yang dibantu anjing pengesan giat mengesan pasangan warga emas tempatan serta dua pelancong asing.
Polis mengesahkan kumpulan pelancong berkenaan yang belum dipastikan kerakyatannya sepatutnya mendaftar keluar untuk mengejar penerbangan dari Lapangan Terbang Athens pada petang Jumaat, namun gagal berbuat demikian.
Punca kejadian di kawasan yang padat dengan hotel serta premis sewaan jangka pendek itu masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Datuk Bandar Athens, Haris Doukas memaklumkan tragedi berdarah berkenaan kemungkinan besar berpunca daripada masalah kelemahan atau kebocoran infrastruktur gas di bangunan berkenaan. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






