Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Sebuah rumah kediaman jenis sementara musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang turut menyebabkan sebuah lori satu tan terbakar di Cabang Sungai Kelong, Pasir Puteh, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.10 pagi sebelum menggerakkan pasukan ke lokasi.
Beliau berkata, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh dengan bantuan BBP Ketereh tiba di lokasi pada jam 5.18 pagi, kira-kira lapan minit selepas menerima panggilan.
“Komander Operasi lapor didapati kebakaran membabitkan sebuah rumah kediaman jenis sementara berkeluasan kira-kira 25 x 70 kaki persegi yang musnah 100 peratus.
“Kebakaran turut membabitkan sebuah kenderaan lori satu tan yang terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran hos reel dan satu aliran tiga kaki dengan dua muncung air daripada tangki jentera.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.
“Operasi turut membabitkan kekuatan 14 anggota dari BBP Pasir Puteh dan BBP Ketereh bersama dua jentera,” katanya.
IMedikel TV






