Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Sebuah kedai runcit separuh kekal musnah kira-kira 80 peratus dalam kebakaran di Kampung Dalam, Tumpat, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Mohd Sabri Hasan berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.57 pagi.
“Pasukan bomba dari BBP Tumpat bersama bantuan BBP Wakaf Bharu dan Unit Water Tanker BBP Pengkalan Kubor digerakkan ke lokasi.
“Jentera bomba tiba di tempat kejadian pada jam 1.59 pagi, kira-kira dua minit selepas menerima panggilan.
“Komander operasi lapor dan pemeriksaan mendapati kebakaran melibatkan sebuah kedai runcit jenis separuh kekal berkeluasan kira-kira 60 x 60 kaki persegi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kebakaran menyebabkan kira-kira 80 peratus struktur premis berkenaan musnah.
“Kebakaran bagaimanapun berjaya dikawal pada jam 2.07 pagi. Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu,” katanya.
Operasi pemadaman dan tindakan lanjut dikendalikan pasukan bomba dari tiga balai berkenaan dengan kekuatan keseluruhan 15 anggota serta tiga jentera.
IMedikel TV






