Home Sukan RONALDO PILIH KEDUA-DUANYA, JARINGKAN 1,000 GOL DAN JUARA LIGA NEGARA-NEGARA

RONALDO PILIH KEDUA-DUANYA, JARINGKAN 1,000 GOL DAN JUARA LIGA NEGARA-NEGARA

OEIRAS: Cristiano Ronaldo muncul di hadapan media sambil mengakui dirinya gementar sebelum melakukan apa yang sudah dilakukannya selama lebih dua dekad: menjadi tumpuan, menepis kritikan dan menegaskan bahawa penghujung kariernya masih belum kelihatan.

Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, ketika berucap pada pentas utama Portugal Football Summit, semalam, kapten Portugal berusia 41 tahun itu berkata, dia masih mempunyai banyak sumbangan untuk diberikan kepada negaranya ketika Jorge Jesus membuat penampilan pertama sebagai pengendali pasukan kebangsaan.

Jesus menggantikan Roberto Martinez selepas kempen Piala Dunia 2026 Portugal berakhir mengecewakan apabila mereka tersingkir pada pusingan 16 terakhir kepada Sepanyol yang kemudian muncul juara.

Ronaldo kini mengumpul 979 gol sepanjang karier iaitu 833 gol bersama kelab dan 146 untuk Portugal dan hanya memerlukan 21 gol lagi untuk mencapai angka 1,000 yang disasarkannya secara terbuka.

Ketika ditanya sama ada memenangi Liga Negara-Negara UEFA atau mencapai 1,000 gol lebih penting, dia tersenyum dan memilih kedua-duanya.

“Satu matlamat ialah mencapai kedua-duanya iaitu menjaringkan 1,000 gol dan pasukan kebangsaan cuba memenangi Liga Negara-Negara ini.

“Ia era baharu bersama pengendali Jorge Jesus, yang kita semua kenal; saya cuma berharap segala-galanya berjalan lancar untuknya,” kata Ronaldo pada Portugal Football Summit di ibu pejabat Persatuan Bolasepak Portugal (FAP) di luar Lisbon.

Portugal akan berdepan Wales pada perlawanan Liga Negara-Negara, awal pagi esok.

Ronaldo berkata, menjaringkan gol ke-1000 bersama Portugal akan menjadi kemuncak manis dalam kariernya.

“Menjaringkan gol ke-1,000 untuk pasukan kebangsaan akan menjadi kemuncak kepada sesuatu dan sebuah kisah yang indah.

“Ia bukan pengakhirannya, tetapi ia akan menjadi sebuah kisah yang indah,” katanya.

Bagaimanapun, Ronaldo menegaskan dia tidak terlalu memikirkan usaha mengejar angka berkenaan.

“Saya sudah mengakui mahu mencapainya dan saya akan mencapainya.

“Satu obsesi? Tidak … Selebihnya ialah menikmati, menikmati setiap hari,” tambahnya.

Ronaldo mengakui dia pernah mempertimbangkan masa depannya bersama pasukan kebangsaan selepas Portugal tersingkir dari Piala Dunia, namun perbincangan dengan FAP dan Jesus meyakinkannya untuk terus beraksi di peringkat antarabangsa.

Ketika ditanya mengenai persaraan, Ronaldo berkata: “Saya belajar sesuatu sejak penghujung usia 30-an, hidup untuk saat ini dan jangan fikir tentang hari esok.

“Adakah ia mungkin berlaku? Ya. Sangat berkemungkinan? Ya. Tetapi adakah ia akan berlaku? Tidak, saya tidak tahu.” – REUTERS, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here