Home Luar Negara 2,200 ANGGOTA DARI 19 NEGARA SERTAI LATIHAN TINDAK BALAS BENCANA TERBESAR DI...

2,200 ANGGOTA DARI 19 NEGARA SERTAI LATIHAN TINDAK BALAS BENCANA TERBESAR DI INDONESIA

JAKARTA: Sekitar 2,200 anggota tentera dan pegawai awam dari 19 negara menyertai latihan tindak balas bencana besar-besaran di Banten, Indonesia.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, ini menjadikannya latihan terbesar di bawah kerangka Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN Pus (ADMM-Plus) dalam tempoh sedekad berdasarkan jumlah peserta.

Latihan Trident Resolve, yang berlangsung dari 20 hingga 26 September, menghimpunkan kesemua 11 negara ASEAN bersama lapan rakan dialog – Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Russia dan Amerika Syarikat (AS).

Kali terakhir latihan ADMM-Plus membabitkan lebih ramai peserta adalah di Singapura dan Brunei pada 2016.

Latihan keselamatan maritim dan menangani pengganasan ketika itu membabitkan kira-kira 3,500 anggota dari 18 negara, selain 18 kapal tentera laut dan 25 pesawat. 

Trident Resolve kali ini menjadi latihan lapangan gabungan ADMM-Plus pertama yang menyatukan tiga Kumpulan Kerja Pakar dalam satu latihan, masing-masing dalam bidang keselamatan siber, bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana (HADR), serta perubatan ketenteraan, lapor The Straits Times. 

Latihan diadakan di tujuh lokasi darat dan kawasan laut bagi menguji keupayaan tentera serta agensi awam dari pelbagai negara bekerjasama menghadapi bencana berskala besar.

Antara operasi yang diuji termasuk mencari dan menyelamat, pemindahan dan rawatan mangsa, tindak balas terhadap ancaman kimia, biologi dan radiologi serta membaiki prasarana yang rosak.

Senario latihan berdasarkan kejadian gempa bumi yang disusuli letusan Anak Krakatau dan tsunami, menurut pemerintah wilayah Banten.

Banten dipilih kerana kedudukannya yang mempunyai garis pantai panjang, menghadap Selat Sunda serta terdedah kepada risiko aktiviti gunung berapi Anak Krakatau.

Pemilihan senario itu juga mempunyai kaitan rapat dengan risiko sebenar yang dihadapi wilayah berkenaan.

Anak Krakatau juga mencetuskan tsunami di Selat Sunda pada 2018 yang mengorbankan lebih 400 orang.

Menurut pemerintah Banten, pengalaman bencana itu menunjukkan pentingnya persediaan, sistem amaran awal dan penyelarasan berkesan antara pelbagai agensi ketika berdepan kecemasan.

Latihan itu merupakan latihan lapangan pertama Kumpulan Kerja Pakar ADMM-Plus mengenai Keselamatan Siber, dengan peserta menguji cara melindungi sistem maklumat daripada gangguan atau pencerobohan ketika operasi bantuan bencana pelbagai negara sedang berlangsung.

Aspek itu dianggap semakin penting kerana operasi bantuan moden bergantung pada rangkaian komunikasi dan perkongsian data bagi menyelaraskan pergerakan anggota, peralatan dan bekalan.

Ketua Inspektor Kementerian Pertahanan Indonesia, Leftenan Jeneral Rui FGP Duarte, menyifatkan latihan itu sebagai satu pencapaian penting dalam kerjasama praktikal antara ASEAN dengan negara rakan.

“Selain matlamat operasinya, latihan ini turut memperkukuh kepercayaan dan persahabatan dalam kalangan negara peserta,” katanya.

Indonesia menjadi tuan rumah Trident Resolve, manakala tiga bidang latihan dianjurkan bersama oleh negara berbeza.

Australia dan Kemboja mengetuai komponen keselamatan siber, Singapura dan New Zealand bagi bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana, manakala Indonesia dan AS mengetuai komponen perubatan ketenteraan.

Latihan itu bukan sahaja menguji keupayaan setiap negara bertindak ketika bencana, malah kemampuan 19 negara berkongsi maklumat, menyelaras sumber dan menjalankan operasi bersama apabila kecemasan besar melangkaui kemampuan sesebuah negara. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here