TOYOHASHI: Atlet karate negara, C Shahmalarani membuktikan kehebatannya di persada dunia selepas merangkul pingat emas yang memang layak dimenanginya dalam perlawanan akhir acara kumite wanita bawah 50kg di Sukan Asia Aichi-Nagoya.
Memetik laporan Berita Harian, Shahmalarani memamerkan kematangan pengalamannya apabila menewaskan wakil Hong Kong, Tsang Yee Ting di Gimnasium Toyohashi menerusi keputusan hantei (keputusan pengadil) selepas perlawanan terikat 0-0.
Beliau berdepan laluan lebih sukar di peringkat separuh akhir apabila menundukkan atlet Uzbekistan, Gulshan Alimardanova 3-2.
Ia menjadi balas dendam yang manis buat Shahmalarani yang pernah tewas kepada Alimardanova dalam perlawanan akhir kejohanan dunia tahun lalu.
Terdahulu, Shahmalarani menumpaskan Fong Man Wai dari Macau 8-0 pada pusingan pembukaan sebelum menewaskan Saiama Jaman dari Bangladesh 5-4 di peringkat suku akhir.
Shahmalarani yang gembira meluahkan bahawa beliau sedar tiada ruang untuk melakukan kesilapan pada aksi final terbabit.
“Laluan ini penuh dengan suka duka tetapi saya sangat gembira ketika ini, saya cuma mahu menikmati detik ini. Ia adalah perjalanan yang sukar untuk sampai ke tahap ini,” katanya.
“Saya merasakan tanggungjawab yang amat besar di bahu saya dan saya bersyukur dapat memenangi emas ini untuk Malaysia. Saya sudah lama menantikan detik ini.
“Kami berdua memang saling mengenali gaya permainan masing-masing, jadi saya tahu perlawanan (menentang Yee Ting) akan berlangsung sengit.
“Saya benar-benar menjaga jarak dalam perlawanan akhir kerana saya tahu kesilapan kecil akan membawa padah. Dia juga tidak mahu melakukan sebarang kesilapan, sebab itu perlawanan menjadi sangat sengit.”
Shahmalarani turut melahirkan rasa gembira kerana akhirnya berjaya menewaskan Alimardanova buat kali pertama.
“Dia pernah menewaskan saya tiga kali sebelum ini, jadi kejayaan menewaskannya buat kali pertama ini amat bermakna bagi saya,” kata Shahmalarani.
“Ia satu pembalasan dendam yang manis, namun begitu saya tetap menaruh rasa hormat yang tinggi terhadapnya.”
Atlet berusia 27 tahun itu yang sudah pun mengumpul tiga pingat emas Sukan SEA kini menambah gelaran juara Sukan Asia dalam koleksinya.
Apabila ditanya sama ada beliau bakal memburu gelaran juara dunia selepas ini, jawapannya ringkas ‘pasti sekali,’ katanya.
Kemenangan Shahmalarani melengkapkan pencapaian cemerlang skuad karate di Jepun.
Secara keseluruhannya, mereka membawa pulang dua pingat emas dan tiga gangsa dari Toyohashi.
Adeola Fay Robert memenangi emas acara kumite wanita bawah 55kg semalam, manakala K Thevendran (bawah 55kg), H Sureeya Sankar (bawah 60kg) dan skuad kata berpasukan lelaki (Aiqal Asmadie, Haznil Henry dan Mukhriz Mazlan) masing-masing merangkul pingat gangsa dalam acara mereka. – BH Online –
IMedikel TV






