Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Masyarakat Orang Asli dibenarkan mengusahakan tanah dalam skala kecil bagi keperluan kediaman dan sumber pendapatan keluarga mereka.
Larangan hingga mengundang tindakan tegas penguatkuasaan lebih tertumpu terhadap penerokaan tanah secara haram berskala besar tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, tindakan tegas diambil bagi memastikan kawasan Hutan Simpan Kekal, kawasan tadahan air dan taman negara tidak terus terjejas disebabkan kegiatan penerokaan tanpa kebenaran.
Katanya, kerajaan sedia maklum masyarakat Orang Asli merupakan penduduk asal beberapa kawasan hutan di negeri ini dan kerajaan tidak ada masalah dengan mereka, namun yang berlaku pihak lain menjadi penceroboh dengan mengambil kesempatan kerana adanya masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan.
Menurutnya, sekiranya kerajaan terus membiarkan aktiviti berkenaan terus berlaku, hutan simpan akan musnah dan rosak selain kawasan tadahan air akan berkurangan serta taman negara juga akan menjadi tidak terkawal.
“Kerajaan negeri sentiasa peka terhadap kepentingan masyarakat Orang Asli termasuk memastikan keperluan asas, tempat tinggal dan sumber pendapatan mereka terus terbela.
“Kita tidak mungkin kacau tanah tempat mereka tinggal dan kawasan tempat mereka mencari rezeki dengan mengusahakan tanaman getah serta kelapa sawit bagi menyara keluarga.
“Sebab itu apabila saya berjumpa dengan masyarakat Orang Asli sebelum ini, saya minta senarai nama mereka yang betul-betul tinggal dan lot tanah bagi membantu menyelesai setiap masalah,” katanya, di sini kelmarin.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan pihak berkuasa negeri yang menjalankan operasi bersepadu tindakan penguatkuasaan bersepadu Hutan Simpan Kekal (HSK) Tasek Bera hingga menimbul rasa tidak puas hati masyarakat Orang Asli beberapa kampung.
Syed Ibrahim Syed menegaskan, penceroboh yang kehilangan sumber pendapatan akibat tindakan penguatkuasaan mungkin cuba membentuk persepsi seolah kerajaan negeri menzalimi masyarakat Orang Asli.
Katanya, pihak yang menceroboh tanah kini tidak berpuas hati kerana selama ini mereka membuka beribu hektar kawasan dengan mengusahakan tanaman sawit dan getah yang memberi pendapatan lumayan. Apabila kerajaan bertindak tegas mereka mula terhimpit.
“Tindakan yang mereka lakukan mengadakan gerakan untuk menampakkan kepada orang ramai yang kononnya kerajaan negeri menzalimi masyarakat Orang Asli.
“Kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan masyarakat Orang Asli, pelbagai usaha dilaksanakan bagi meningkatkan kesejahteraan serta pembangunan komuniti berkenaan.
“Masyarakat Orang Asli di ‘tatang macam minyak panas’, pelbagai bantuan disediakan dalam bidang pendidikan, kemudahan asas dan perumahan,” katanya.
IMedikel TV






