Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menerima sebanyak 3,892 panggilan melibatkan kebakaran dan operasi penyelamatan sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini.
Pengarah JBPM Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim, berkata jumlah itu merangkumi 1,625 panggilan berkaitan kebakaran, 2,267 panggilan penyelamatan dan 131 panggilan tugas-tugas khas.
Beliau berkata, tiada panggilan palsu direkodkan dalam tempoh berkenaan, manakala sebanyak RM174.31 juta nilai harta benda berjaya diselamatkan daripada musnah.
“Bagaimanapun, kira-kira RM68.99 juta kerugian direkodkan dalam tempoh tersebut.
“Rekod yang dicatat menunjukkan tugasan yang jabatan kendalikan bukan kecil dan memerlukan kesiapsiagaan yang konsisten daripada Pusat Gerak Operasi (PGO), zon dan balai yang berada di setiap daerah di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan September di Dewan Sri Mahkota, Ibu Pejabat JBPM Pahang, di sini kelmarin.
Hadir sama Timbalan Pengarah JBPM Pahang, Wan Ahmad Fadillah Wan Abdul Rahman dan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pahang, Mohd Salahuddin Isa.
Mohd Razam berkata, dari segi Response Time (RT10), pencapaian JBPM Pahang bagi tempoh Januari hingga Ogos adalah 65.32 peratus dengan purata National Average Response Time (NART) 9.53 minit.
Katanya, pencapaian itu masih mempunyai ruang untuk ditambah baik, khususnya menerusi penglibatan Pasukan Bomba Sukarela (PBS).
“Saya mengucapkan tahniah kepada semua anggota yang terlibat, bagaimanapun kita masih mempunyai ruang untuk memperbaiki pencapaian ini terutama dengan penglibatan Pasukan Bomba Sukarela (PBS),” katanya.
Dalam program sama, turut diadakan penyerahan kenderaan Volunteer Fire Rescue Vehicle (VFRV) dan kenderaan PBS kepada PBS Kampung Lebu, Bentong serta PBS Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak, Jengka, Maran.
Mohd Razam berkata, agihan aset berkenaan diharap dapat membantu PBS melaksanakan peranan dengan lebih berkesan di kawasan masing-masing, terutama dalam memberikan sokongan awal ketika berlaku kecemasan.
“Saya berharap Ketua Balai dapat terus memberi bimbingan dan sokongan kepada PBS di kawasan masing-masing termasuk dari segi latihan, keselamatan dan penyelarasan apabila berlaku sesuatu kejadian.
“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Lembing, BBP Chini, BBP Mentakab dan BBP Sungai Koyan yang menerima jentera baharu tentunya memberikan satu semangat baharu kepada warga balai.
“Saya ingin mengingatkan bahawa jentera baharu juga datang bersama tanggungjawab dan anggota perlu memahami pengoperasiannya,” katanya.
IMedikel TV






