Home Buletin Semasa RAYANI AIR 2.0 KEMBALI, PILIH KOTA BHARU SEBAGAI HAB OPERASI BAHARU

RAYANI AIR 2.0 KEMBALI, PILIH KOTA BHARU SEBAGAI HAB OPERASI BAHARU

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kebangkitan semula Rayani Air menerusi Rayani Air 2.0 dijangka memberi nafas baharu kepada sektor penerbangan dan pelancongan di Kelantan apabila syarikat itu memilih negeri ini sebagai pusat pentadbiran serta hab operasinya.

Menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi syarikat, Rayani Air memaklumkan pejabat urusannya akan beralamat di Kota Bharu manakala operasinya akan berpusat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (KBR).

Menurut syarikat itu, Rayani Air 2.0 kini kembali beroperasi di bawah pengurusan baharu selepas melalui proses penstrukturan semula.

“Alhamdulillah, dengan rasa penuh kesyukuran kami ingin memaklumkan bahawa Rayani 2.0 kini kembali dengan pengurusan baharu,” menurut kenyataan berkenaan, semalam.

Dalam masa sama, syarikat itu mengumumkan pelantikan Datuk Mohd Jamil Muhamed sebagai Pengerusi Rayani Air 2.0.

Pihaknya berkata, Mohd Jamil adalah bekas penjawat awam berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran selain dikenali sebagai tokoh pelancongan negara dan Pengerusi Eksekutif D’ Kenali Holidays Sdn Bhd.

Tambahnya, pelantikan beliau diharap dapat memacu Rayani Air 2.0 ke arah pengurusan yang lebih teratur, berhemah dan berintegriti.

Barisan pengurusan serta kakitangan lain pula masih dalam proses pemilihan dan akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Terdahulu, kelmarin, Rayani Air mengumumkan kemunculan semulanya dengan model perniagaan baharu yang memberi tumpuan khusus kepada penerbangan carter haji dan umrah patuh syariah.

Rayani Air 2.0 HALAL yang diperkenalkan sebagai syarikat penerbangan 100 peratus milik Bumiputera itu tidak lagi mengendalikan penerbangan domestik berjadual seperti ketika operasinya pada 2015 hingga 2016.

Bagi operasi baharu itu, syarikat terbabit merancang menggunakan pesawat Airbus A330-300 yang mampu membawa sehingga 290 penumpang dan dijangka memulakan perkhidmatan pada 2027.

Sebelum ini, Rayani Air beroperasi menggunakan pesawat Boeing 737-400 dengan kapasiti 160 penumpang ketika perkhidmatannya antara tahun 2015 dan 2016.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here