Oleh: Wartawan IMedikel TV
KOTA TINGGI: Seorang lelaki direman tujuh hari bagi membantu siasatan selepas dipercayai mencampakkan anak saudara perempuannya berusia lima tahun ke dalam sungai di Kampung Padang, Tanjung Sedili, di sini, pagi semalam.
Perintah reman dikeluarkan Hakim Hafizah Abdul Rajak di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, bermula hari ini hingga 28 September depan.
Permohonan reman terhadap suspek berusia 37 tahun itu dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
Sebelum itu, suspek tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 9 pagi dengan diiringi anggota polis selepas dibawa ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan.
Semalam IMedikel TV melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun itu maut selepas dipercayai dicampakkan ke dalam sungai oleh bapa saudaranya yang mengamuk dan mempunyai masalah kesihatan mental di Kampung Padang, Tanjung Sedili.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman dilaporkan berkata, suspek dipercayai mencampakkan mangsa ke dalam sungai sebelum mengamuk dan mengejar bapa mangsa berusia 40 tahun dengan bersenjatakan parang.
Suspek kemudian berjaya ditahan, namun berlaku pergelutan yang menyebabkan seorang anggota polis mengalami kecederaan.
IMedikel TV






