Oleh: Wartawan IMedikel TV
JOHOR BAHRU: Penyanyi, Najwa Latif atas mesra disapa Wawa, tidak merasakan dirinya perlu menjelaskan perubahan fizikal selepas bergelar ibu kepada cahaya mata berusia 10 bulan.
Wawa berkata, dia menghormati pandangan semua pihak termasuk mereka yang mengkritik penampilannya, namun memilih untuk tidak melayan perkara berkenaan.
“Pada Wawa, Wawa hormat semua orang punya pendapat. Semua orang berhak untuk bercakap apa-apa yang mereka nak cakap.
“Wawa rasa tak semua benda Wawa perlu respon dan dalam hal ini pun Wawa tak rasa Wawa perlu untuk beri respon,” katanya ketika ditemui pada Perasmian Pembukaan Outlet Bayu Somerset ke 21 di Toppen di sini hari ini.
Menurut Wawa yang juga platun lagu Cinta Muka Buku, sokongan daripada suami dan ibunya banyak membantu dirinya kekal tenang apabila berdepan komen negatif mengenai dirinya.

“Wawa bila benda-benda ini berlaku, perkara pertama yang Wawa akan buat adalah hubungi mak, beritahu dan minta maaf sebab benda tak baik keluar mengenai Wawa.
“Mak cakap, tidak mengapa, ini sebahagian daripada perjalanan hidup. Ada orang suka dan ada yang tidak suka. Kita hanya perlu menerimanya dan meneruskan kehidupan. Yang penting, kita buat perkara-perkara yang baik,” katanya.
Menurut Wawa, dia tidak mahu menjadikan proses menyusukan anak sebagai alasan terhadap perubahan fizikalnya.
Sebaliknya menganggap pengalaman bergelar ibu sebagai satu perjalanan yang membahagiakan.
“Wawa tak nak jadikan itu alasan dan bukan satu beban untuk Wawa. Wawa sangat gembira untuk beri yang terbaik kepada anak.
“Apa yang orang nak cakap itu terpulang. Wawa tak rasa perlu untuk jelaskan atau ‘justify’ kenapa badan Wawa macam ini atau macam itu.
“Wawa menikmati apa yang Wawa sedang lalui. Wawa sangat gembira berada di keadaan Wawa sekarang,” katanya.
Mengulas lanjut, Wawa berkata, dia sedar aspek kesihatan tetap perlu diberi perhatian, namun buat masa ini mahu menikmati fasa kehidupannya sebagai ibu.
“Wawa tahu apa yang Wawa perlu buat, cuma buat masa ini, biarlah Wawa menghayati perjalanan ini terlebih dahulu.
“Sekarang ini proses untuk menjaga dia (anak perempuan). Wawa tidak mahu mengatakan perubahan berat badan ini disebabkan dia kerana Wawa rasa dia adalah satu anugerah daripada Tuhan,” katanya.
Dalam perkembangan kerjaya, Wawa berkata, dia belum mempunyai perancangan untuk mengadakan konsert dalam masa terdekat kerana mahu memberi tumpuan kepada beberapa komitmen lain terlebih dahulu.
“Konsert buat masa ini memang belum lagi. Wawa tidak ada perancangan ke arah itu kerana banyak perkara yang perlu Wawa uruskan sekarang, jadi Wawa perlu fokus satu persatu.
“Kalau ada rezeki, insya-Allah pada masa akan datang Wawa akan maklumkan,” katanya.
“Kalau dari segi lagu, masih tengah cari material. Kalau tak jumpa material, Wawa akan buat sendiri lagu untuk tahun ini.
“Setiap tahun Wawa akan release sekurang-kurangnya satu lagu,” katanya.
IMedikel TV






