KUALA LUMPUR: Pernah mengetepikan ego dan sanggup meminta maaf demi persahabatan, Bella Astillah kini memahami hubungan tidak mampu dipertahankan sendirian jika hanya satu pihak mahu mengekalkannya.
Memetik laporan Harian Metro, menerusi hantaran Instagram (IG), Bella berkongsi antara perkara paling menyedihkan adalah apabila persahabatan dibina bertahun-tahun akhirnya tidak mampu bertahan hanya kerana sebelah pihak memilih mempercayai cerita tanpa mendapatkan penjelasan.
“Semakin dewasa, Bella sedar bahawa kehilangan seseorang tidak semestinya berlaku kerana kita berhenti menyayanginya.
“Kadang-kadang kita kehilangan seseorang kerana dia sudah membuat keputusan mengenai siapa diri kita sebelum sempat bertanya kepada kita sendiri.
“Itu antara perkara paling menyedihkan mengenai sebuah persahabatan, apabila bertahun-tahun mengenali seseorang masih kalah kepada satu cerita yang tidak pernah diberi peluang untuk dijelaskan.
“Sebab Bella kalau dah sayang, akan sayang sampai hujung nyawa,” tulisnya.
Mengimbas pengalaman mempertahankan persahabatan, Bella mengakui pernah sampai ke tahap apabila mempertahankan hubungan itu dirasakan lebih penting daripada menjaga ego sendiri.
Malah, Bella sanggup meminta maaf atas perkara yang bukan kesalahannya semata-mata untuk menyelamatkan hubungan disayangi.
“Bella pernah sampai ke satu titik di mana mempertahankan sebuah persahabatan terasa lebih penting daripada mempertahankan ego sendiri.
“Sampai sanggup meminta maaf atas perkara yang bukan salah Bella, tetapi demi menyelamatkan sebuah hubungan yang Bella sayang.
“Tapi akhirnya Bella belajar, sekuat mana pun kita mahu menjaga sesuatu, sebuah persahabatan tetap memerlukan dua hati yang sama-sama mahu kekal bersahabat,” tulisnya.
Bella berkata, pengalaman itu membuatkan dia kini lebih menghargai sahabat yang memilih untuk terus berada dalam hidupnya, termasuk mereka yang sudah lama mengenalinya.
“Sebab itu Bella begitu bersyukur dengan mereka yang masih ada. Ada yang sudah lebih 25 tahun mengenali Bella dan sepanjang semua perubahan, kesibukan serta fasa kehidupan, kami masih kekal sama, saling menyayangi walau dari jauh.
“Alhamdulillah untuk sahabat yang tidak mudah melepaskan hanya kerana mendengar sesuatu mengenai kita. Yang mengenali hati kita cukup lama untuk bertanya, betulkah, sebelum membuat keputusan untuk pergi,” katanya.
Menurut Bella, persahabatan yang benar-benar mahu dipertahankan memerlukan kedua-dua pihak memberikan ruang untuk berbicara dan mendapatkan penjelasan.
“Kerana pada akhirnya, orang yang benar-benar mahu menjaga hubungan dengan kita akan memberi kita ruang untuk bercakap, bukan menjatuhkan hukuman daripada cerita yang kita sendiri tidak pernah diberi peluang untuk jawab,” katanya. – HMetro Online –
IMedikel TV






