JAKARTA: Pasukan pemadam kebakaran Jepun yang dihantar bagi membantu memadam kebakaran besar di Indonesia berdepan kesukaran untuk menjalankan operasi kerana jerebu terlalu tebal sehingga menghalang penerbangan helikopter, kata seorang jurucakap kepada AFP pada Khamis.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Indonesia berdepan kebakaran hutan dan tanah selama beberapa minggu di beberapa kawasan di Borneo dan Sumatera, menyebabkan sebahagian negara itu serta negara jiran Malaysia dan Singapura diselubungi jerebu toksik.
Kira-kira 350 anggota Pasukan Pertahanan Diri Jepun tiba minggu lalu di wilayah Kalimantan Barat, Borneo, yang terjejas teruk, dengan tiga helikopter disediakan bagi membantu operasi memadam kebakaran, kata pegawai perhubungan awam misi itu, Takeshi Koga, kepada AFP.
Operasi mereka pada asalnya dirancang bermula Ahad lalu, namun terpaksa ditangguhkan berikutan jarak penglihatan yang rendah, kata Koga. Beliau berkata, operasi pengeboman air akhirnya bermula pada Rabu.
Penerbangan pada Khamis pula ‘semuanya dibatalkan akibat jarak penglihatan yang rendah’ apabila jerebu menyebabkan jarak penglihatan berkurangan kepada kurang daripada tiga kilometer, katanya.
Indonesia sememangnya kerap berdepan kebakaran hutan ketika musim kering yang lazimnya berlangsung dari Julai hingga Oktober.
Namun, kebakaran tahun ini amat buruk, sebahagiannya disebabkan fenomena iklim El Nino yang dijangka menjadi paling kuat sejak rekod perbandingan seumpamanya mula direkodkan kira-kira empat dekad lalu.
Pakar turut menyalahkan perubahan iklim, kemerosotan hutan selama beberapa dekad serta amalan pembukaan tanah secara tebang dan bakar yang mengubah landskap semula jadi yang sebelum ini lebih tahan terhadap kebakaran.
Kerajaan Indonesia berkata, lebih 202,000 hektar tanah terbakar di seluruh negara antara Januari hingga Julai.
Projek Nusantara Atlas pula menganggarkan angka berkenaan hampir 300,000 hektar bagi tempoh sama, manakala minggu lalu menganggarkan jumlah kawasan terjejas termasuk pada Ogos, mencecah hampir 896,000 hektar. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






