Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Seorang wanita yang menjalankan peniagaan kedai fotostat di Raub kerugian RM315,963 selepas terpedaya dengan kes penipuan membabitkan tender pembelian 35 unit projektor tidak wujud.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, berdasarkan laporan semalam, wanita berusia 52 tahun yang menjalankan perniagaan kedai fotostat dan perkhidmatan berkaitan mesin pencetak menerima pesanan melalui WhatsApp daripada seorang lelaki pada 1 September lalu.
Beliau berkata, suspek yang mengenalkan diri sebagai Shahrizal mendakwa mewakili Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Kangsar, Perak.
“Suspek meminta mangsa menyediakan sebut harga berkaitan pembekalan kertas soalan peperiksaan. Pada 10 September lalu, suspek sekali lagi menghubungi mangsa dan meminta mangsa mendapatkan dua unit projektor untuk dihantar ke PPD Kuala Kangsar.
“Memandangkan syarikat mangsa tidak mempunyai stok projektor, suspek memberikan nombor telefon individu bagi urusan pembekalan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau menambah, mangsa membuat pesanan dua projektor dengan bayaran RM18,498 ke dalam akaun bank yang diberikan suspek.
Katanya, suspek kemudiannya menghantar gambar kononnya sebagai bukti bahawa projektor berkenaan diterima PPD Kuala Kangsar.
“Pada 11 September lalu, suspek sekali lagi menghubungi mangsa dan memaklumkan terdapat tempahan tambahan sebanyak 50 unit projektor. Suspek turut menghantar satu pesanan tempatan (LO) kepada mangsa bagi meyakinkan mangsa bahawa tempahan itu adalah sah dan meminta mangsa membuat bayaran bagi pembelian projektor.
Mangsa membuat pembayaran beberapa transaksi kepada satu akaun berjumlah RM254, 970 bagi 30 projektor dan RM42,495 bagi lima unit projektor,” katanya.
Azry Akmar berkata, selepas membuat pembayaran, mangsa meminta pihak berkenaan mengemukakan dokumen pendaftaran syarikat dan nombor pendaftaran cukai (TIN) tetapi permintaan itu tidak dijawab.
Katanya, mangsa sekali lagi menghubungi suspek dan hanya dimaklumkan bahawa tempahan sedang diproses untuk penghantaran, semalam.
“Selepas itu, mangsa tidak lagi menerima sebarang maklumat berhubung tempahan itu dan gagal menghubungi suspek. Mangsa kemudiannya menyedari telah menjadi mangsa penipuan dan tampil membuat laporan polis.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM315,963 membabitkan wang simpanan hasil perniagaannya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya yang menasihatkan orang ramai supaya membuat pengesahan terlebih dahulu terhadap sebarang tawaran pembelian.
Pihak terbabit boleh menyemak nombor akaun dan hubungi Semak Mule sebelum sebarang transaksi kewangan dilakukan. Mangsa penipuan hendaklah segera menghubungi NSRC di talian 997 atau membuat laporan polis.
IMedikel TV






