Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat serta usahawan tempatan dengan mempergiatkan penganjuran Program Jualan MADANI KUSKOP di kawasan terpilih di seluruh negara.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong, berkata program jualan itu menjadi platform kepada orang ramai mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah, termasuk diskaun sehingga 30 peratus yang mampu menjimatkan perbelanjaan isi rumah.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah membuka peluang kepada peniaga tempatan menjana pendapatan menerusi penyertaan dalam program itu.
Katanya, Program Jualan MADANI KUSKOP turut menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan yang menawarkan perkhidmatan secara langsung kepada rakyat, sekali gus memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat dan bantuan yang diperlukan.
“Program jualan ini telah diadakan di Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur dengan sasaran sekurang-kurangnya 10 lokasi jualan pada tahun ini.
“Kriteria pemilihan lokasi program ini adalah berdasarkan keperluan dan kesesuaian di sesuatu kawasan penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Jualan MADANI KUSKOP Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Delima di Taman Kejiranan Karpal Singh, Island Glades, Georgetown, hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan.
Mengulas lanjut, Steven Sim berkata penduduk yang hadir berpeluang membeli kira-kira 80 jenis barangan runcit dan barangan basah pada harga yang lebih berpatutan berbanding harga pasaran.
“Antara barangan yang ditawarkan termasuk makanan dalam tin, lampin bayi, biskut, gula, minyak masak dan telur, selain pelbagai barangan basah seperti daging, ayam, ikan dan udang,”katanya
Beliau berkata, penganjuran program seumpama itu diharap dapat membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat, di samping memastikan lebih ramai pengguna memperoleh akses kepada barangan keperluan harian pada harga mampu milik.
IMedikel TV




