Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GOMBAK: Seorang pelajar kolej berusia 19 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas ketika cuba mengelak sebuah lori yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di persimpangan menghala ke Saujana Rawang, awal pagi Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, mangsa yang juga lelaki tempatan dipercayai sedang menunggang motosikal jenis Suzuki RG Sports secara bersendirian dari Bandar Tasik Puteri menuju ke Bukit Beruntung.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan sebuah lori daripada Kaunter Aduan Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak kira-kira jam 1.21 pagi.
“Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di bahu jalan ketika cuba mengelak sebuah lori yang tidak dikenal pasti jenis dan nombor pendaftarannya.
“Lori berkenaan dipercayai melanggar lampu isyarat merah ketika bergerak dari arah Rawang menuju ke Saujana Rawang,” katanya dalam kenyataan semalam.
Katanya akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Sungai Buloh.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Polis turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan kemalangan itu tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Faizal Mohd @ Abd Aziz menerusi talian 019-267 6097 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di 03-6126 2222.
IMedikel TV






