Home Buletin Semasa 30 TUKUN TIRUAN KURNIAAN SULTAN KELANTAN DILABUH BAGI PERKASA KONSERVASI PERIKANAN

30 TUKUN TIRUAN KURNIAAN SULTAN KELANTAN DILABUH BAGI PERKASA KONSERVASI PERIKANAN

Oleh: Afrizam Arif @IMedikel TV

PASIR PUTEH: Sebanyak 30 unit tukun tiruan kurniaan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dilabuhkan di perairan Kelantan bagi mewujudkan kawasan konservasi serta menjadi habitat pembiakan dan pembesaran ikan.

Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan, Ismail Ibrahim berkata, pelabuhan tukun berkenaan adalah yang pertama menggunakan peruntukan kurniaan Sultan Kelantan bagi tujuan konservasi perikanan di negeri itu.

Beliau berkata, tukun berkenaan dilabuhkan kira-kira 4.6 batu nautika dari perairan Jeti Tok Bali dan dijangka menjadi kawasan perlindungan serta pembiakan pelbagai spesies ikan.

“Tukun ini akan menjadi pusat konservasi dan pembiakan ikan. Kita akan memperbanyakkan lagi pelabuhan tukun tiruan di perairan Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Melabuh Tukun Tiruan Kurniaan Sultan Kelantan di Perairan Negeri Kelantan di Jeti Pelancongan Tok Bali, di sini, Khamis lalu, yang dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Ismail berkata, sejak 2007, Jabatan Perikanan Kelantan telah melabuhkan kira-kira 400 tukun tiruan di empat lokasi iaitu Pasir Puteh, Bachok dan Tumpat, manakala 72 unit lagi dilabuhkan secara berperingkat tahun ini.

Menurutnya, selain menjadi habitat ikan, tukun tiruan turut berfungsi sebagai penghalang kepada pencerobohan bot nelayan besar ke kawasan perairan pantai kerana struktur tukun boleh menyebabkan peralatan menangkap ikan tersangkut.

“Apabila ikan datang, bertelur dan membesar, ia akan memberi manfaat kepada nelayan kita dan akhirnya kembali kepada masyarakat, khususnya dalam meningkatkan pendaratan ikan serta menyokong sekuriti makanan,” katanya.

Jelasnya, tukun yang dilabuhkan pada jarak kurang lima batu nautika itu turut berperanan sebagai kawasan konservasi, dengan hasil pembiakan ikan dijangka mula dapat dilihat sekurang-kurangnya dalam tempoh kira-kira enam bulan, bergantung kepada keadaan dan proses ekosistem di kawasan berkenaan.

Katanya, jabatan turut melaksanakan pemantauan dan program pembersihan tukun secara berkala bagi mengeluarkan tali dan sisa peralatan menangkap ikan yang tersangkut pada struktur tukun bagi memastikan habitat berkenaan terus berfungsi dengan baik.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here