Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Kerajaan perlu memikirkan keperluan rakyat secara menyeluruh dan memastikan pelbagai kemudahan serta bantuan yang disediakan dapat dicapai masyarakat di peringkat akar umbi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan turun padang perlu diperkasakan supaya program dan inisiatif kerajaan bukan sekadar wujud di atas kertas, sebaliknya benar-benar sampai kepada golongan sasar.
Menurutnya, keperluan rakyat amat pelbagai, termasuk membabitkan keusahawanan, teknologi maklumat, pendidikan dan bantuan kehidupan harian.
“Selagi yang tak boleh baca al-Quran pun, dia boleh cari kita (kerajaan). Tak boleh meniaga, nak beli, nak baiki motor pun, cari kita juga.
“Kemudian kita kata kita negara AI (kecerdasan buatan), teknologi maklumat (IT), macam-macam dia (rakyat) cari kita juga yang jadinya kita buat NADI,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Skim Usahawan Bangkit Madani Permatang Pauh di Yayasan Aman, Penanti, Pulau Pinang, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Ketua Jawatankuasa Task Force (Kluster Makanan), Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.
Anwar berkata, pendekatan itu turut perlu diterapkan dalam pelaksanaan Skim Usahawan Bangkit (SUB), Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
“Skim Usahawan Bangkit (SUB) perlu, NADI perlu, Amanah Ikhtiar pun perlu, tapi semua ini kena turun ke bawah,” katanya.
Mengulas mengenai NADI, beliau berkata, setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai satu atau dua pejabat NADI bagi memudahkan masyarakat mendapatkan kemudahan dan maklumat berkaitan teknologi.
Bagaimanapun, katanya, masih ramai rakyat termasuk golongan muda yang belum mengetahui kewujudan serta fungsi NADI.
“Ramai yang tak tahu apa itu NADI. Ramai yang anak-anak tak memahami (maka perlu berbuat sesuatu untuk dimanfaatkan),” katanya.
Anwar berkata, usaha membawa kemudahan berkenaan lebih dekat kepada rakyat turut dilaksanakan sehingga ke Pulau Banggi, Sabah.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kejayaan sesuatu program kerajaan tidak boleh hanya bergantung kepada usaha pihak pentadbiran, sebaliknya memerlukan kerjasama masyarakat.
“Kita boleh ada program, kalau saudara tak sokong, tak jadi juga. Jadi dua-dua perlu berpakat,” katanya.
IMedikel TV






