Home Buletin Semasa NENEK TIGA CUCU, 17 KALI KELUAR MASUK PENJARA ANGKARA DADAH

NENEK TIGA CUCU, 17 KALI KELUAR MASUK PENJARA ANGKARA DADAH

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: “Ayah yang sepatutnya menjadi pelindung pada saya.. Namun sebaliknya dia yang bertanggungjawab memberi pendedahan berkaitan dadah pada saya,” Latipah, 46, (bukan nama sebenar).

Dia antara 54 prospek dari Penjara Penor (45) dan Penjara Bentong (9) terbabit dengan kesalahan dadah dibebaskan lebih awal daripada hukuman menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Madani Yakin ‘Kepulangan Yang Dinanti’ peringkat negeri Pahang sempena Hari Kemerdekaan Negara Ke-69 di Dewan Melati Penjara Penor, di sini pada Rabu.

Terdahulu program itu dirasmikan Pengarah Penjara Pahang, Timbalan Komisioner Penjara Suhaizak Ab Wahab.

Hadir sama Pengarah Penjara Penor, Penolong Kanan Komisioner, Mohd Rusli Abd Rahman.

Latipah yang juga nenek tiga cucu itu berkata kerana dadah dia dihina oleh keluarga dan masyarakat selepas 17 kali keluar masuk Penjara Wanita Kajang, Selangor dan Penjara Bentong.

Katanya detik bebas daripada dadah selama enam tahun bermula pada 2020 tidak kekal lama apabila dia kembali menagih selepas itu.

Katanya, dia mula terjebak dengan dadah pada usia 20 tahun kerana pengaruh rakan sekolah dan tekanan keluarga, pada usia 24 tahun dia sudah mula meringkuk dalam penjara kerana kesalahan menagih dan mengedar.

Katanya kerana bahan terlarang itu tiga kali rumahtangga yang dibina hancur berkecai.

“Lebih menyedihkan saya apabila bapa yang sepatutnya menjadi benteng aktiviti salah pada anaknya sebaliknya ketua keluarga itu menjadi individu penting yang memberi pendedahan padanya terhadap dadah.

“Tiga perkahwinan yang dilalui hancur apabila suami turut sama menagih dadah, tempoh hukuman penjara yang singkat antara empat hingga lapan bulan menyebabkan saya dan penagih lain tidak serik. Penjara seolah menjadi rumah kedua kami,” kata. 

Latipah berjanji pada diri sendiri dan keluarga untuk bertaubat serta terus bebas daripada dadah, peluang dibebaskan awal akan digunakan untuk memulakan kehidupan baharu sempena kemerdekaan negara yang penuh bermakna.

Sementara itu, Suhaizak berkata, tahun lalu seramai 1,153 banduan dibebaskan menerusi PBSL dan dalam tempoh tujuh bulan tahun ini seramai 389 banduan dibebaskan.

“Kita berharap banduan yang dibebaskan lebih awak daripada hukuman dapat memulakan hidup baharu dan tidak kembali menagih. Keluarga dan masyarakat perlu menerima banduan dalam memastikan mereka tidak kembali mengulangi aktiviti lalu.

“Tujuan program PBSL diadakan bagi mengurangkan kesesakan dalam penjara selain memberi peluang kedua pada prospek memulakan kehidupan baharu yang bebas daripada dadah yang kini menjadi musuh utama negara,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here