Home Buletin Semasa SUAMI ISTERI ANTARA 7 DITAHAN, DADAH BERNILAI RM3.2 JUTA DIRAMPAS

SUAMI ISTERI ANTARA 7 DITAHAN, DADAH BERNILAI RM3.2 JUTA DIRAMPAS

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Pasangan suami isteri antara tujuh individu ditahan polis dalam tiga serbuan yang membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM3.2 juta di Pulau Pinang.

Operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang bersama pasukan narkotik daerah Timur Laut, Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) itu dilaksanakan antara 15 hingga 22 Ogos lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, serbuan pertama di daerah Timur Laut membawa kepada penahanan empat individu termasuk pasangan suami isteri berusia 26 dan 25 tahun.

Katanya, pasangan berkenaan dipercayai mendalangi sindiket yang mendapatkan ganja dan bunga ganja dari negara jiran untuk diedarkan di Pulau Pinang.

“Di dalam rumah suspek, kita menjumpai banyak jenis dadah. Kedua-dua suspek ini disiasat di bawah Seksyen 39B dan hari ini (semalam) mereka telah dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan.

“Bagi suspek keempat, iaitu lelaki berusia 30 tahun dan juga penganggur, tempoh remannya akan tamat esok (Sabtu) dan kita akan ambil tindakan ke atasnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, semalam.

Menurutnya, dalam serbuan itu polis merampas 38.3 kilogram serbuk ganja, 11.5 kilogram bunga ganja, 14 kilogram methamphetamine, lima kilogram ketamin, 16 kilogram pil ekstasi dan 4,000 biji pil Erimin-5.

“Sementara itu, dalam serbuan di daerah SPU, polis menahan dua lelaki masing-masing berusia 23 dan 46 tahun.

“Daripada kedua-dua suspek itu, polis merampas masing-masing 3.25 kilogram dan 1.3 kilogram serbuk MDMA yang dipercayai untuk dijual kepada pelanggan di pusat hiburan.

“Di daerah SPT pula, seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan bersama 8.5 kilogram serbuk MDMA, 1,755 pil ekstasi, 100 pil Erimin-5, 0.63 kilogram ketamin dan sembilan kartrij methamphetamine cecair,” katanya.

Menurut beliau selain pelbagai jenis dadah, polis turut menyita kenderaan dan motosikal dengan nilai keseluruhan RM89,000 dalam operasi berkenaan.

Beliau berkata, siasatan mendapati ketiga-tiga kumpulan terbabit dipercayai sindiket berasingan dan tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.

“Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan bagi mengesan anggota lain serta sumber dan rangkaian pengedaran dadah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, saringan air kencing mendapati empat daripada tujuh suspek positif morfin, amphetamine dan methamphetamine.

“Pemeriksaan polis juga mendapati lima daripada mereka mempunyai rekod jenayah dan kesalahan berkaitan dadah,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here